
SARATOK – Baru kira-kira seminggu bekerja di sebuah kedai runcit, seorang wanita tempatan berusia 27 tahun ditahan polis kerana disyaki menjadi ejen jualan tambah nilai perjudian dalam talian di Pekan Kabong.
Wanita yang berasal dari Kapit itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok kira-kira jam 3.22 petang dalam satu serbuan di premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek ditahan ketika berada seorang diri di kaunter kedai runcit tersebut.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan sebuah telefon bimbit berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai ejen jualan tambah nilai perjudian dalam talian di sekitar kedai runcit Pekan Kabong,” katanya.
Beliau berkata, suspek dipercayai menjalankan kegiatan tersebut sejak kira-kira seminggu lalu, selepas mula bekerja di premis berkenaan.
Menurutnya, kegiatan itu dipercayai menyasarkan pelanggan di sekitar Pekan Kabong.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.


