
PUTRAJAYA – Isu ketirisan dan salah guna kuasa di Malaysia bukan hanya soal salah laku individu, namun ia menghakis kepercayaan rakyat, merosakkan institusi, dan menghambat kemajuan negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya budaya rasuah diperangi habis-habis, merupakan satu amanah dan menuntut tindakan segera serta komprehensif oleh semua institusi berkaitan.
Menurutnya, titah Seri Paduka Baginda turut menekankan keperluan siasatan terhadap bukan sahaja penerima rasuah malah pemberi rasuah dan ejen, selain tindakan pantas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tindakan besar-besaran mesti diambil bukan sahaja terhadap penerima rasuah, tetapi juga terhadap pemberi rasuah dan ejen yang selama ini kurang disentuh.
“SPRM mesti mempercepatkan siasatan dan pendakwaan, tanpa pilih kasih, tanpa kompromi dan tanpa penyekatan, selain tiada toleransi terhadap amalan rasuah di semua peringkat, sama ada politik, perniagaan, agensi kerajaan dan swasta,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Jais berkata, SPRM perlu mengumumkan pelan tindakan jelas termasuk garis masa, sasarkan pemberi rasuah, serta mekanisme pemantauan awam.

Menurut beliau, agensi itu juga perlu memperkukuh kerjasama dengan Pejabat Peguam Negara (AGC), polis dan pelbagai agensi antarabangsa untuk memastikan kes selesai dengan adil dan cepat, selain tiada campur tangan politik atau tekanan luar yang melemahkan proses.
“MCW menegaskan jawatan awam adalah amanah, bukannya platform untuk memperkayakan diri sendiri, kroni atau ahli politik.
“Penyalahgunaan kuasa, dana atau aset awam adalah pengkhianatan kepada negara dan rakyat. Semua pegawai kerajaan termasuk kontraktor, perunding dan pegawai atasan perlu dipertanggungjawabkan jika terbukti bersalah,” katanya.
Pada masa sama, Jais berkata, MCW menggesa agar melaksana inisiatif pendidikan integriti yang praktikal di peringkat sekolah, universiti dan sektor swasta.
“Polisi integriti berbentuk ‘zero tolerance’ terhadap konflik kepentingan, hadiah dan perkhidmatan percuma dalam urusan kerajaan di samping memberi sokongan kuat kepada pelapor salah laku (whistleblowers) dengan perlindungan undang-undang menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berpandangan, isu rasuah yang membabitkan pelbagai lapisan mengakibatkan berlakunya ketirisan dan salah guna kuasa pada skala yang amat membimbangkan.

“Kewangan yang seharusnya digunakan untuk kepentingan rakyat, memajukan negara dan memperkasa kualiti hidup melalui program pembangunan masyarakat akhirnya masuk ke dalam poket individu tertentu.
“Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memerangi gejala berkenaan, masalah itu masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya dan kekal menjadi ancaman serius sehingga negara alami kekurangan peruntukan dan dana untuk pembangunan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Lam Thye berpandangan, keperluan melaksanakan pendidikan nilai murni dan integriti diterapkan secara formal seawal di bangku sekolah bagi mewujudkan budaya antirasuah yang mampan.
“Kita harus bermula di sekolah. Saya harap ini dapat dijadikan satu kurikulum bagi mewujudkan nilai murni dan integriti supaya pelajar faham untuk tidak melakukan sesuatu yang tidak bermoral.
“Matlamat kita menghantar anak ke sekolah bukan sahaja untuk mencapai prestasi akademik yang baik, tetapi untuk melahirkan insan yang mempunyai nilai positif, bermoral tinggi dan beretika.
“Tumpuan harus diberikan kepada perkara yang lebih penting. Mana-mana perkara yang dirasakan kurang penting boleh dipertimbangkan semula untuk digugurkan dan digantikan dengan pendidikan pembentukan insan,” katanya.


