
PENAMPANG – Calon PH bagi DUN Moyog, Remysta Taylor mencuri perhatian pagi ini apabila hadir mengundi bersama bapanya pada jam 10.07 pagi, dengan aura tenang namun jelas teruja menghadapi detik penting pertama sebagai calon dalam pilihan raya negeri.
Remysta yang selesai menunaikan tanggungjawab mengundi pada pukul 10.19 pagi, di Sekolah Kebangsaan St Joseph, Penampang mengakui hatinya berdebar tetapi tetap optimis menghadapi keputusan rakyat Moyog.

“Gementar sikit, biasalah pertama kali bertanding tapi saya sangat positif hari ini dan kita berharap yang terbaik,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui media di luar pusat mengundi.
Beliau memberitahu, meskipun sudah beberapa kali mengundi di lokasi sama, pengalaman kali ini sangat berbeza kerana buat pertama kali beliau melihat namanya sendiri tertera pada kertas undi.
“Perasaan dia memang lain sebab kita mengundi diri sendiri.
“Bila nampak nama sendiri dalam kertas undi, rasa itu memang lain sikit, satu pengalaman baharu,” ujarnya.
Saingan di DUN Moyog yang menyaksikan pertarungan 12 penjuru turut mendapat reaksinya yang menyifatkan landskap politik Sabah sememangnya unik dan terbuka.
“Kita amalkan demokrasi. Berapa ramai calon pun, 20 pun boleh berdiri.
“Itu keunikan Sabah orang kita semua mempunyai keyakinan,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai langkah seterusnya jika keputusan tidak memihak kepadanya, Renysta menegaskan bahawa komitmennya terhadap masyarakat tidak bergantung kepada kemenangan.
“Kalau menang, saya sedia berkhidmat. Kalau tidak menang pun, saya tetap akan teruskan apa yang saya buat untuk orang kampung.
“Itu memang minat dan hobi saya, jadi ia tidak akan berhenti,” katanya lagi.
Kehadiran Remysta pagi ini menjadi tumpuan para pengundi serta petugas media, sekali gus menandakan keyakinan PH terhadap potensi generasi baharu dalam politik Sabah.




