Kerajaan MADANI pastikan semua kaum, aliran pendidikan terbela – PMX

ALOR GAJAH – Kerajaan MADANI akan terus memastikan keperluan semua kaum serta aliran pendidikan di negara ini diberi perhatian secara seimbang tanpa meminggirkan mana-mana pihak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pemberian bantuan kepada institusi pendidikan Islam tidak bermakna kerajaan mengabaikan sekolah vernakular, sebaliknya peruntukan yang telah diluluskan bagi sekolah Cina dan Tamil akan diumumkan dalam tempoh dua minggu.

“Negara ini kalau nak aman, kena bagi dan jaga semua. Anak-anak sekolah pondok, maahad tahfiz, ramai yang terbiar, tidak ada bantuan, maka kita tingkatkan bantuan.

“Jadi sekali lagi saya tekankan, untuk program dan bantuan sekolah Cina dan Tamil, kita sudah beri jadual, dalam dua minggu lagi diumumkan di Kuala Lumpur,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Gelombang MADANI Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim.

Anwar berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan setiap lapisan masyarakat menerima perhatian sewajarnya, sekali gus memelihara keamanan dan keharmonian negara berbilang kaum serta agama.

Menurut beliau, Malaysia menjadi contoh sebuah negara majmuk yang berjaya mengekalkan perpaduan apabila rakyat daripada pelbagai latar belakang dapat hidup dalam suasana saling menghormati.

“Kita ini aman. Bayangkan, ada Cina, ada India dan ramai juga Melayu di sini, ada sekolah agama, maahad tahfiz, tetapi dengan aman. Orang hormat satu sama lain.

“Kalau di negeri dan negara lain, susah. Negara yang pelbagai kaum nak berhimpun macam ini kerana syak wasangka, benci, tidak percaya dan ada permusuhan. Akhirnya negara jadi korban,” katanya.

Mengulas konsep ummatan wasatan seperti terkandung dalam Surah al-Baqarah ayat 143, Perdana Menteri berkata, umat Islam perlu membentuk masyarakat yang seimbang dari aspek keimanan, ilmu, akhlak serta hubungan sesama manusia dan alam sekitar.

“Kalau betul perangai kita baik, akhlak kita baik, negeri kita bersih daripada penyelewengan dan rasuah, hubungan kita dengan orang Islam baik, hubungan kita dengan orang bukan Islam kita hormati, dengan persekitaran, bukit-bukau, pohon-pohon tidak kita musnahkan dengan sesuka hati, baru kita seimbang.

“Inilah baru menjadikan kita contoh kepada manusia. Nak tengok bersih, tengok kita. Nak tengok tidak rasuah, tengok kita. Nak tengok perjalanan negeri yang cekap, tengok kita sebagai contoh. Ini yang disebut contoh yang baik. Bukan benci dan permusuhan, bukan menghina orang,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, usaha memperkasakan institusi pendidikan Islam turut dipertingkatkan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan, termasuk meneruskan bantuan kepada sekolah agama rakyat.

Beliau berkata, bantuan itu meliputi kerja membaik pulih sekolah pondok serta penyediaan latihan berkaitan teknologi dan komputer.

“Pada 2022 saya ambil alih, Kerajaan Perpaduan. Pada 2023 saya mula beri bantuan dan pada 2024 kita tingkatkan.

“Kita baiki sekolah pondok, beri latihan AI dan komputer di sekolah pondok. Kalau tidak, kita ada sekolah lain seperti sekolah Cina, sekolah Tamil yang diurus baik, sekolah pondok ketinggalan. Tidak boleh,” katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan keseluruhan RM1.29 juta bagi membaik pulih infrastruktur 13 institusi pendidikan Islam di Melaka.

Antara institusi yang menerima peruntukan itu ialah Madrasah Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Kota Melaka yang menerima RM250,000.

Related Posts

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, di sini, malam ini. Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa polis menyiasat Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan barisan Exco negeri itu berhubung keputusan menerima proklamasi penyingkiran Tuanku Muhriz…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

PM Anwar selesai menghadap Tuanku Muhriz

Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

Putra gesa polis siasat MB, Exco NS berhubung penyingkiran Tuanku Muhriz

Krisis Negeri Sembilan kian memuncak, Amanah cadang MB mohon bubar

Krisis Negeri Sembilan kian memuncak, Amanah cadang MB mohon bubar

Kemelut Negeri Sembilan: Raja perlu dihormati, semua tindakan mesti ikut aturan – Ibrahim Ali

Kemelut Negeri Sembilan: Raja perlu dihormati, semua tindakan mesti ikut aturan – Ibrahim Ali

Pendidikan, sosioekonomi nadi utama kelestarian komuniti Tellian

Pendidikan, sosioekonomi nadi utama kelestarian komuniti Tellian

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET

Dari peluang kedua hingga teknologi pintar, dua graduan POLYCC buktikan kuasa TVET