
KOTA KINABALU – Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin bersama isteri, Datin Koh Chen Yean hadir untuk membuang undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bahang ada pukul 8.47 pagi tadi.
Foong Chin berkata, beliau akan menunggu keputusan pilihan raya dengan tenang pada malam ini.
Foong Hin, yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, berdepan saingan sembilan penjuru dalam usaha meraih sokongan 21,264 pemilih berdaftar di DUN berkenaan.
“Tempat mengundi secara keseluruhan berjalan lancar. Saya akan tunggu keputusan dengan terbuka dan tenang,” katanya ketika ditemui media di SK Bahang, pada Sabtu.

Sementara itu, Penyelia Pusat Mengundi SK Bahang, Sopian Mohammad memaklumkan bahawa pengundi mula hadir seawal 7.30 pagi, majoritinya terdiri daripada golongan berusia.
“Hujan renyai-renyai pada awal pagi menyebabkan kehadiran pengundi agak perlahan, namun selepas jam 8.30 pagi, orang ramai mula berpusu-pusu hadir ke pusat mengundi berikutan cuaca kembali baik.
“Kra-kira 5,000 pengundi dijangka menunaikan tanggungjawab di pusat mengundi tersebut yang mempunyai sepuluh saluran,” katanya.





