
KOTA KINABALU – Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu (KK) mahu perkukuh hubungan hala antara Indonesia dan Malaysia.
Konsul Jeneral Republik Indonesia di KK yang baharu, Noorman Effendi berkata, sebagai konsul baharu tumpuan utamanya adalah memastikan hubungan mesra yang sedia terjalin antara kedua-dua negara terus diperkukuh serta diperluas dalam pelbagai bidang.
“Saya ingin menyampaikan bahawa tugas saya di sini secara umum ingin pertama tentunya adalah bagaimana memperkuat hubungan yang sudah baik antara Indonesia dan Malaysia, khususnya Sabah agar menjadi lebih baik.
“Pertama tentunya hubungan ekonomi, sosial dan budaya.
“Jadi, sebagai negara yang berkongsi pulau saya ingin hubungan ini semakin baik,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan bersama media di Ruang Nusantara Konsulat Jenderal Republic Indonesia, di sini pada Rabu.

Noorman berkata, peranannya sebagai Konsul Jenera Indonesia bukan sekadar memperkukuh hubungan diplomatik, tetapi juga memastikan perlindungan dan kebajikan rakyat Indonesia yang tinggal dan bekerja di Sabah.
“Ada banyak orang Indonesia yang tinggal di Sabah, baik mereka yang sudah jadi warga negara Malaysia atau keturunan Indonesia atau mereka yang kemudian datang sebagai pekerja di ladang, dan luar ladang ataupun pekerjaan profesional lainnya yang ada di Malaysia,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, pejabat Konsulat akan mempergiat promosi ekonomi, pelaburan dan kebudayaan Indonesia di Sabah bagi menggalakkan kerjasama yang lebih erat di masa hadapan.
“Kami ingin memperkenalkan kekayaan budaya Indonesia secara lebih luas, bukan hanya dari Kalimantan tetapi juga dari Sulawesi, Jawa, Sumatera, Bali, Papua dan Maluku.
“Indonesia mempunyai pelbagai potensi menarik untuk dikongsi dan dijalin kerjasama,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa hubungan erat yang terjalin antara Sabah dan Indonesia bukan sahaja akan memperkukuh diplomasi dua hala tetapi juga memupuk persefahaman budaya antara masyarakat kedua-dua negara.



