
PUTRAJAYA – Belanjawan 2026 disifatkan bukan sekadar angka, tetapi cerminan tekad Kerajaan MADANI untuk membina negara bangsa yang sejahtera dan berdaya saing.
Pengerusi Dewan Perdagangan Islam (DPIM) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, pembentangan itu membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.
“DPIM Selangor menyokong penuh pendekatan berteraskan nilai Malaysia MADANI, yang memberi penekanan kepada keberkesanan, ketelusan dan tanggungjawab sosial, khususnya dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan.
“Fokus terbabit juga mampu memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta memperluas peluang ekonomi untuk umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, pada Ahad.

Mohd Yahya berkata, pihaknya menyakini langkah stratrgik yang diumumkan menerusi Belanjawan 2026 akan memperkukuh daya tahan ekonomi negara, merancakkan pelaburan, serta memperkukuh jaringan perdagangan domestik dan antarabangsa.
“DPIM Selangor akan terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam memastikan manfaat belanjawan ini sampai kepada akar umbi usahawan dan komuniti perniagaan tempatan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur serta Selangor (KLSICCI), Nivas Ragavan menyifatkan Belanjawan 2026 sebagai nafas baharu untuk penjaja, usahawan mikro dan perusahaan kecil sederhana (PKS).
Namun, pada masa sama, beliau menegaskan kejayaan tersebut akan bergantung sepenuhnya kepada kecekapan pelaksanaan di peringkat akar umbi.
“Peruntukan RM50 juta melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) serta geran sehingga RM10,000 kepada 1,000 usahawan mikro menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap sektor kecil yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
“Langkah ini bukan sahaja menyokong peniaga kecil, tetapi memberi peluang kepada mereka untuk memodenkan operasi dan beralih ke ekonomi digital,” katanya.

Nivas berkata, pendekatan memperkenalkan khemah penjaja dan sistem pembayaran QR berasaskan kotak bunyi bukan sahaja memudahkan urusan jual beli tanpa tunai selain memodenkan perniagaan tradisional, tetapi memastikan penjaja serta peniaga kecil tidak tertinggal dalam peralihan ke arah ekonomi digital.
Jelasnya, sistem itu memberi kelegaan kepada penjaja setiap kali pelanggan membuat bayaran QR susulan peranti itu akan mengumumkan jumlah secara automatik dan membuktikan simbol kemajuan yang mudah tetapi berkesan.
“Potongan cukai tambahan 50 peratus untuk latihan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber sebagai langkah ke depan yang akan melonjakkan daya saing PKS Malaysia di peringkat global, selain mendorong syarikat tempatan menerima transformasi digital, automasi dan ekonomi hijau tiga teras penting untuk pertumbuhan mampan.
“Peningkatan jumlah pinjaman dan jaminan kepada RM50 bilion, termasuk RM2.5 bilion mikrofinans melalui BSN dan TEKUN akan membantu lebih ramai peniaga mendapatkan modal. Peeralihan Bank Negara Malaysia kepada model jaminan pinjaman juga adalah langkah tepat bagi menarik penyertaan sektor swasta dan mengurangkan risiko kewangan
“Bagaimanapun, kelewatan dan kerenah birokrasi masih menjadi antara cabaran utama kepada usahawan kecil. Ramai PKS gagal bukan kerana tiada dana, tetapi kerana prosesnya lambat dan berbelit. Sudah tiba masanya kerajaan tubuh portal pembiayaan PKS tunggal bagi mempercepat dan mendigitalkan akses kepada bantuan,” katanya.
Nivas turut menyarankan agar kerajaan memperkukuh peta hala tuju PKS berorientasikan eksport dan ASEAN, serta menyediakan insentif lebih tersasar kepada usahawan wanita dan belia.
“Kita perlukan program bimbingan jangka panjang dan peningkatan kemahiran (upskilling, reskilling dan multiskilling) untuk memastikan PKS berkembang secara lestari,” katanya.
Nivas menegaskan Belanjawan 2026 adalah cerminan kesungguhan kerajaan memulihkan ekonomi rakyat, tetapi keberhasilannya tidak boleh diukur pada jumlah peruntukan semata-mata.
“Cabaran sebenar ialah memastikan setiap ringgit benar-benar sampai kepada usahawan di lapangan. Belanjawan yang baik tidak boleh berhenti di atas kertas ia mesti hidup dalam tindakan,” katanya.



