PROGRAM Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kini menjadi bualan hangat, bukan sekadar dalam kalangan penerima B40, malah turut dinikmati oleh sebahagian golongan T20.
Kalau dulu ramai menyangka bantuan kerajaan hanya tertumpu pada isi rumah berpendapatan rendah, kini terbukti bahawa Perdana Menteri tidak melupakan sesiapa pun dalam keluarga besar Malaysia.
Bayangkan, golongan T40 yang selama ini dianggap sudah mampu, tetap merasa terharu bila nama mereka turut ada dalam senarai penerima manfaat.
Walaupun mereka tidak bergantung kepada bantuan itu untuk kelangsungan hidup, sekurang-kurangnya mereka merasai perhatian kerajaan iaitu ibarat tetamu yang turut disambut mesra ketika majlis hari raya, walaupun hidangan utama bukan untuk mereka.
Inilah seni politik berjiwa rakyat. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami psikologi rakyat, bahawa perhatian dan penghargaan itu sama penting dengan bantuan kewangan.
Ia bukan sekadar soal membeli barangan dapur, tetapi mesej bahawa kerajaan hadir bersama rakyat dalam setiap lapisan.
Lebih menarik, pendekatan ini adalah cadangan terbaik untuk memikat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kelas sosial.
B40 rasa terbela, M40 rasa dihargai, T20 pula merasa mereka tidak diketepikan. Rakyat bersatu dalam limpahan rahmah, itulah resepi yang sedang dijana oleh Perdana Menteri.
Yang lebih penting, Kerajaan MADANI mencatat sejarah. Belum pernah dalam mana-mana pentadbiran sebelum ini, sebuah program bantuan sebegini inklusif diwujudkan iaitu yang bukan sahaja menjaga perut golongan miskin, tetapi juga menyentuh hati mereka yang sudah berada dalam keadaan selesa.
Selama ini, bantuan bersifat eksklusif: yang kaya tidak perlu, yang sederhana terbiar, yang miskin sahaja dipandang. Tetapi hari ini, paradigma sudah berubah.
Lebih jauh, apa yang terserlah melalui SARA ialah bahawa ekonomi Malaysia sebenarnya berada dalam keadaan kukuh. Logiknya mudah: kalau ekonomi negara teruk seperti yang digembar-gemburkan pembangkang, mustahil kerajaan mampu menyalurkan bantuan besar-besaran merentasi pelbagai lapisan rakyat.
Fakta ini sendiri sudah menolak dakwaan pembangkang yang sering melaungkan naratif muram seolah-olah Malaysia di ambang kehancuran.
Bandingkan dengan zaman lalu. Apa yang rakyat dapat? Ada bantuan, tetapi terhad, kadang-kadang sekadar ‘one-off’ menjelang pilihan raya, sekadar gula-gula politik tanpa kesinambungan.
Golongan sederhana seperti M40 dan T20 pula hanya mampu melihat dari jauh, seolah-olah mereka bukan sebahagian daripada rakyat yang juga membayar cukai dan menyumbang kepada ekonomi negara.
Hari ini, dengan pendekatan MADANI, rakyat bukan sahaja diberi janji, tetapi disediakan solusi.
Persoalannya, siapa yang rakyat mahu percaya? Perdana Menteri yang turun padang, memberi manfaat nyata dan menjana hasil negara, atau pembangkang yang hanya tahu menabur cerita negatif demi kepentingan politik sempit?
Realitinya, rakyat semakin nampak: Anwar bukan sekadar bercakap, tetapi membuktikan dengan tindakan.
Maka, wajar ditanya kembali adakah rakyat mahu beliau turun, sedangkan buat pertama kali dalam sejarah, semua golongan daripada B40 hingga T20 merasai limpahan rahmah.
SARA akhirnya menjadi simbol Malaysia MADANI iaitu rahmah yang menyeluruh, ekonomi yang stabil, dan rakyat yang semakin yakin.


