
KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bureau Veritas (Sarawak) Sdn. Bhd bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang tenaga hidrogen, pensijilan hijau dan pembangunan lestari.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UNIMAS, Prof Ir Dr Siti Noor Linda Taib berkata, kerjasama ini bakal membuka ruang lebih luas kepada penyelidikan, pembangunan kapasiti serta peluang latihan untuk pelajar dan tenaga akademik.
“UNIMAS komited menjadi pusat penyelidikan dan inovasi yang menyumbang kepada pembangunan tenaga lestari negara.
”Dengan sokongan Bureau Veritas, kita yakin ekosistem hidrogen dan teknologi hijau dapat diperkukuh demi manfaat Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Bureau Veritas (Malaysia), Datuk Mohd Nizam Abdul Malik, menegaskan kerjasama dengan UNIMAS adalah langkah penting dalam menyokong agenda pembangunan hijau negeri.
“Kami percaya gabungan kepakaran akademia dan industri mampu mempercepatkan peralihan hijau.
“Bureau Veritas komited menyediakan sokongan teknikal, pensijilan serta pengalaman industri bagi memastikan projek tenaga lestari dapat dilaksanakan dengan berkesan,” ujarnya lagi.

Antara inisiatif utama yang dirancang termasuk pembangunan makmal hidrogen di kampus UNIMAS, projek bangunan hijau, solar terapung, kursus kejuruteraan bertauliah serta peluang latihan industri untuk pelajar.
Majlis menandatangani MoU ini turut dihadiri barisan pengurusan Institut Tenaga Lestari dan Diperbaharui (ISuRE) bersama wakil Bureau Veritas (Sarawak).
Kerjasama ini diyakini menjadi pemangkin kepada pembangunan rendah karbon dan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) negara.
Foto: UNIMAS

