Oleh: Ahmad Mursi
ULASAN | Khairy Jamaluddin (KJ) sebenarnya sudah lama mendedahkan sesuatu yang cukup besar mengenai skandal 1MDB. Bukan sekadar mengkritik Najib Razak, tetapi menceritakan bagaimana ahli Kabinet sendiri tidak dimaklumkan perkara penting yang berlaku ketika pentadbiran Najib.
KJ bukan orang luar. Dia pernah menjadi menteri dalam Kabinet Najib. Jadi apabila dia bercakap tentang apa yang berlaku dalam kerajaan ketika itu, memang wajar rakyat memberi perhatian.
KJ mempersoalkan kenapa masih ada penyokong Najib yang mahu mempertahankan skandal 1MDB.
“What for nak defend benda ni? 1MDB adalah kes yang bukan persepsi, bukan fitnah. Dia memang kes. Dah terbukti di Amerika Syarikat. Apa lagi nak cover ni?”
Menurut KJ, 1MDB merupakan sebab utama BN tumbang pada PRU14. GST mungkin memberi sedikit kesan, tetapi beliau percaya tanpa skandal 1MDB, BN masih boleh menang pilihan raya tersebut.
Lebih mengejutkan, KJ menceritakan bagaimana Kabinet pernah meluluskan penjualan tanah kerajaan di Jalan Dato Onn kepada Bank Negara Malaysia dengan nilai RM2 bilion.
Katanya, kertas Kabinet itu memang dibentangkan dan diluluskan. Tetapi satu perkara penting tidak dimaklumkan kepada mereka.
Wang RM2 bilion hasil penjualan tanah tersebut sebenarnya digunakan untuk membayar hutang 1MDB, menurut pendedahan yang dibuat selepas BN kehilangan kuasa.
KJ mengakui perkara itu hanya diketahuinya selepas Lim Guan Eng membangkitkannya. Ketika disoal dalam Dewan Rakyat, beliau berada dalam keadaan serba salah kerana selama ini merupakan sebahagian daripada kerajaan.
“Memang kita tak tahu. Memang kita tak tahu.”
Bayangkan, menteri Kabinet sendiri mendakwa tidak mengetahui bagaimana wang daripada transaksi tanah kerajaan digunakan untuk membantu membayar hutang 1MDB.

KJ turut menyentuh bagaimana pembelian barangan mewah yang dikaitkan dengan Rosmah Mansor cuba dijelaskan sebagai hadiah daripada pihak UAE. Tetapi apabila dibangkitkan bukti perbualan antara Jho Low dengan Rosmah berhubung pembelian tersebut, menurut KJ, penjelasan yang diberikan tidak dapat menjawab persoalan itu.
Sebab itulah KJ menjelaskan mengapa beliau yang dahulu menyokong Najib akhirnya menjadi lantang mengkritiknya.
Bukan soal menjadi lalang. Bukan juga semata-mata soal tidak setia kepada bekas pemimpin.
Tetapi kerana banyak perkara yang sebelum ini tidak diketahui akhirnya terbongkar. KJ bertanya satu soalan yang cukup tajam.
“Apakah kebaikan itu boleh menghalalkan perompakan?”
Katanya, seseorang tidak boleh mengambil wang secara salah, kemudian menggunakan wang itu untuk membina masjid dan menganggap perbuatannya sudah menjadi baik.
“Kita tak boleh cuci dosa kita, dosa rompakan kita dengan kita menggunakan sebahagian daripada duit yang kita rompak itu untuk buat kebaikan.”
Mudah sahaja maksudnya. Walau berapa banyak jasa seseorang pemimpin, jasa itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.
KJ juga menolak cubaan menyamakan skandal 1MDB dengan kerugian perdagangan mata wang asing atau forex. Menurutnya, kerugian akibat spekulasi mata wang berbeza daripada dakwaan penggunaan hutang yang diterbitkan melalui negara untuk tujuan yang salah.
Paling menarik ialah amaran KJ kepada UMNO sendiri.
Beliau mengingatkan bahawa selagi UMNO enggan menerima hakikat skandal 1MDB, selagi itulah parti tersebut sukar untuk bangkit semula.
Katanya, rakyat akan semakin hilang keyakinan apabila selepas kalah pilihan raya dan pelbagai perkara didedahkan, masih ada pemimpin serta penyokong yang enggan menerima kenyataan.
“Mereka yang masih lagi nak sokong, nak memberi alasan, nak menafikan realiti ini. Mereka ini sebenarnya adalah liabiliti yang sangat besar terhadap UMNO.”
Sekarang tengoklah apa yang berlaku.

UMNO sanggup mengumpulkan RM50 juta bagi membantu membayar denda Najib dalam kes SRC International. Pada masa yang sama, masih ada pemimpin yang bersungguh-sungguh memperjuangkan pembebasannya.
Lebih menghairankan, ada pula agamawan politik yang bercakap soal pahala membantu pembayaran denda itu.
Sedangkan KJ sendiri sudah mengingatkan bahawa kebaikan tidak boleh menghalalkan perompakan.
Apa sebenarnya mesej yang mahu disampaikan kepada anak-anak kita?
Kalau rakyat biasa mengambil wang orang lain, kita mahu dia dihukum. Tetapi apabila melibatkan pemimpin besar yang mempunyai banyak jasa, tiba-tiba ada yang mencari pelbagai alasan untuk mempertahankannya.
KJ sebenarnya sudah menjelaskan satu prinsip yang sangat mudah. Apabila kebenaran sudah diketahui, jangan lagi cuba menegakkan benang yang basah.

Kalau benar sayangkan UMNO, sepatutnya parti itu dibebaskan daripada beban skandal 1MDB, bukannya terus mengikat masa depannya kepada usaha mempertahankan Najib.
Persoalannya sekarang, adakah UMNO mahu mendengar amaran KJ, atau sanggup sekali lagi mempertaruhkan masa depan parti demi seorang bekas pemimpin?
Kerana akhirnya, sebagaimana KJ sendiri ingatkan, mereka yang masih menafikan realiti mungkin bukan sedang menyelamatkan UMNO.
Mereka sebenarnya sedang menjadi liabiliti terbesar kepada parti itu sendiri.
***Penulis adalah pemerhati politik



