keunikan seni bina masjid Al Madiatul Husna gamit pengunjung
Oleh: Ahmad Mursi
ULASAN | Rosak dah keutamaan dalam politik kalau perkara macam ini pun kita tak rasa pelik.
Bayangkan, ADUN BN (Barisan Nasional) Duyong, Mohd Noor Helmy sendiri merungut sudah empat kali meminta bantuan RM1.5 juta untuk menyiapkan Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah di Kampung Duyong, tetapi katanya tidak mendapat respons.
Selepas buat video dan berjaya mengumpul sebahagian dana, masih berbaki RM700,000. Sampai terpaksa ‘tag’ PMX Anwar Ibrahim pula meminta bantuan.
Tetapi apabila UMNO mahu membayar denda RM50 juta bagi pihak Najib Razak yang disabitkan dalam kes penyelewengan dana SRC International, jumlah sebesar itu boleh pula disediakan.
Apa sebenarnya yang kita nak ajar kepada anak-anak kita?
Nak bina masjid, kena merayu sana sini. Nak bayar denda kes sakau duit negara, boleh pula kumpul puluhan juta.

Lebih menarik, denda Najib yang asalnya RM210 juta telah dikurangkan kepada RM50 juta melalui proses pengampunan diraja.
Keputusan pengampunan itu mesti dihormati, tetapi persoalan tentang keutamaan penggunaan wang tetap wajar dibincangkan.
Bayangkan mesej yang mungkin ditangkap oleh generasi muda. Kalau terlibat kes rasuah berbilion ringgit tetapi masih berpengaruh dalam politik, akan ada orang sanggup mengumpul jutaan ringgit untuk membantu membayar denda.
Sedangkan untuk menyiapkan sebuah masjid yang memerlukan RM1.5 juta pun, wakil rakyat sendiri terpaksa meminta berkali-kali.
Bukan soal siapa berhak membantu siapa. Persoalannya, apabila RM50 juta boleh disediakan untuk membayar denda kes rasuah, mengapa usaha mendapatkan RM1.5 juta bagi menyiapkan masjid kelihatan begitu sukar?
Sebab tu ramai setuju dengan adik mahasiswa Gen Z yang kata derma RM50 juta ini adalah ‘stupidest thing’.
Itulah persoalan tentang nilai dan keutamaan yang patut kita fikirkan.
***Penulis adalah pemerhati politik



