
TAIPING – Seorang pemandu lori muatan telur maut selepas kenderaan dipandunya merempuh bahagian belakang sebuah lori muatan tembikai di Kilometer 198.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi Selasa.
Mangsa lelaki berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan selepas tersepit di dalam lori jenis Isuzu satu tan dipandunya.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.18 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping digerakkan ke lokasi.
“Pemeriksaan mendapati lori muatan telur berkenaan melanggar belakang lori jenis Nissan UD seberat 10 tan yang membawa muatan tembikai.
“Seorang lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, Ketua Operasi melaksanakan ‘size-up’ dan mengaplikasikan konsep ‘SAVER’ dengan menggunakan peralatan ‘telescopic’ untuk membuat renggangan serta ‘hydraulic cutter’ bagi memotong bahagian lori mangsa.
“Mangsa berjaya dibawa keluar menggunakan stretcher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Operasi terkawal pada jam 6.48 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 6.52 pagi.






