
TELUK INTAN – Dua remaja perempuan maut, manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta di Jalan Padang Tembak di sini, petang Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 petang itu, dua mangsa yang menaiki motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.
Menurut beliau, kenderaan itu kemudian melanggar sebuah motosikal dan sebuah lagi kereta yang berada di hadapan sebelum turut merempuh seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang dan pembonceng motosikal yang merupakan dua remaja perempuan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta berusia 28 tahun serta kanak-kanak lelaki yang turut terlibat telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, pemandu kereta terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, Chua turut mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya, selain memastikan keadaan selamat sebelum melakukan tindakan memotong bagi mengelakkan kemalangan.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa dan berharap mereka diberikan kekuatan menghadapi kehilangan tersebut.
Foto: Tangkap layar pengguna Facebook






