
DALAM sistem keadilan moden, prinsip asasnya jelas — semua orang berhak membawa kes ke mahkamah, tanpa prejudis terhadap masa silam mereka. Namun, dalam dunia sebenar, tidak semua saman itu bersifat biasa. Bila seorang individu yang sedang berdepan tuduhan jenayah serius, menggunakan mahkamah untuk menyaman seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan — kredibiliti bukan sekadar sampingan. Ia menjadi teras perbincangan awam, cabaran kepada keluhuran perlembagaan, dan ujian kepada integriti institusi kehakiman.
Saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri bukanlah sekadar kes tort antara dua individu. Ia muncul dalam iklim politik yang tegang, melibatkan seorang plaintif yang dibayangi tuduhan berat dan krisis integriti peribadi. Konteks ini menuntut kita bertanya — adakah keadilan masih berfungsi, atau sudah mula diperalat?
Siapa plaintif, dan mengapa ia bukan soalan kecil
Mari kita lihat latar belakangnya;
Pada Disember 2019, Yusoff membuat akuan bersumpah mendakwa kononnya berlaku salah laku seksual oleh seorang bekas pemimpin negara. Laporan polis dibuat. Siasatan dijalankan. Namun, pada Januari 2020, Pejabat Peguam Negara mengklasifikasikan kes itu sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA) kerana kekurangan bukti.
Namun pada 2021 — dua tahun selepas pihak berkuasa menutup kes — Yusoff menghidupkan semula dakwaannya dalam bentuk saman sivil, di mana standard pembuktian jauh lebih longgar. Pada waktu itu, tiada sesiapa pun menjangka bahawa pada 2024, beliau akan ditahan kerana didakwa mengedar lebih 300 gram ganja dan memiliki senjata api tiruan — satu kes yang kini dibicarakan di Mahkamah Tinggi dengan keputusan dijangka pada 12 Jun 2025.
Inilah individu yang mahu menyeret Perdana Menteri ke mahkamah — untuk tuntutan berbentuk persepsi dan publisiti.
Dan kita masih mahu menganggap ini sebagai urusan peribadi biasa?
Kredibiliti Bukan Isu Sampingan — Ia Risiko Institusi
Dalam mana-mana kes yang menyentuh kedudukan perlembagaan tertinggi negara, latar belakang plaintif bukan isu kecil. Terutamanya bila saman:
- Muncul selepas siasatan jenayah tidak menemui asas pendakwaan,
- Diangkat semula dalam bentuk litigasi sivil demi reputasi, bukan keadilan,
- Dibawa oleh individu yang kini menghadapi pertuduhan berat yang belum selesai, dan
- Secara terang-terangan cuba menarik ketua kerajaan ke kancah kehakiman dalam waktu politik yang genting.
Ini bukan litigasi yang datang dari seorang warga biasa yang tercalar haknya. Ini adalah kes yang dibawa oleh seseorang yang sedang bertarung dengan krisis integriti dan keabsahan moral — dengan motif yang boleh dipersoal.
Jika mahkamah terus bersikap neutral terhadap siapa yang menggunakan platformnya, sistem ini berisiko menjadi alat manipulasi oleh individu yang tidak layak.
Perlembagaan memerlukan soalan ini dijawab
Rujukan perlembagaan oleh pihak Perdana Menteri bukan bertujuan menjatuhkan plaintif. Ia bukan cubaan mencemarkan karakter seseorang yang sedang menuntut. Ia hanya mengajukan tiga soalan penting:
- Adakah mahkamah harus menjalankan tapisan awal terhadap kes-kes seperti ini, terutama apabila kredibiliti plaintif dan waktu pemfailan menimbulkan persoalan perlembagaan?
- Adakah membenarkan saman ini diteruskan tanpa pertimbangan kepentingan awam melanggar hak asasi seperti termaktub dalam Perkara 5(1) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan?
- Adakah litigasi seperti ini melanggar prinsip pengasingan kuasa, apabila kehakiman dijadikan alat untuk melemahkan Eksekutif secara tidak langsung?
Ini bukan persoalan teknikal semata. Ia adalah ujian terhadap ketahanan sistem — sejauh mana mahkamah kita mampu mengenal pasti dan menolak percubaan menggunakan sistem kehakiman untuk tujuan politik terselindung.
Mahkamah tidak boleh terus buta terhadap siapa yang menggunakannya
Jika seseorang yang sedang menghadapi perbicaraan jenayah serius dibenarkan menyalahguna sistem untuk menyaman seorang Perdana Menteri secara terbuka, kita bukan lagi berada dalam medan keadilan. Kita sedang menyaksikan satu bentuk rampasan institusi yang berbahaya.
Kedaulatan undang-undang tidak hanya menuntut kesaksamaan dari segi akses. Ia juga menuntut penapisan — bahawa mahkamah mesti memastikan ia tidak digunakan sebagai pentas oleh mereka yang berniat jahat, bermotif politik, dan kehilangan kredibiliti moral.
Keadilan bukan hanya untuk tertuduh, tapi juga dari si penuduh
Perlembagaan bukan hanya perisai bagi mereka yang dituduh. Ia juga pelindung terhadap penyalahgunaan proses oleh penuduh yang tidak layak.
Mahkamah perlu sedar bahawa tidak semua saman adalah demi keadilan. Ada yang diatur demi kekacauan. Bila sistem kehakiman menjadi alat publisiti atau tekanan politik, ia bukan lagi ruang mencari kebenaran — ia menjadi pentas untuk mengaibkan dan mengganggu kelangsungan kerajaan yang dipilih secara sah.
Kita tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku.
Penulis adalah peguam bela dan terlibat aktif dalam wacana perlembagaan Malaysia


