
MANILA – Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) berpotensi membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan digital, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, DEFA menyasarkan ekonomi digital ASEAN berkembang dua kali ganda kepada AS$2 trilion menjelang 2030.
“Justeru, Malaysia mahu ASEAN memperkukuh keupayaan teknologi sendiri, melindungi kedaulatan data serta memastikan penggunaan AI (kecerdasan buatan) ditadbir secara telus dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan intervensi pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, di sini.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, gangguan rantaian bekalan global membuktikan ASEAN tidak boleh terlalu bergantung kepada sumber dari luar rantau.
Sehubungan itu, Malaysia mahu negara anggota memperkukuh perdagangan sesama sendiri bagi menjamin bekalan makanan dan keperluan asas rakyat.
Katanya, perhatian khusus perlu diberikan kepada bekalan baja, benih dan makanan ternakan yang ketika ini masih banyak bergantung kepada sumber luar.
“Negara ASEAN perlu meningkatkan perdagangan sesama sendiri serta memastikan bekalan input pertanian terus disalurkan ketika krisis.
“Langkah itu termasuk mengoptimumkan Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga bagi menghadapi gangguan bekalan,” katanya.
Selain keterjaminan makanan, Malaysia turut menggesa kerjasama lebih erat dalam sektor ubat-ubatan, termasuk pengiktirafan kelulusan kawal selia dan pengeluaran vaksin secara serantau.
Anwar berkata, pendekatan itu penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber luar, selain memastikan bekalan keperluan asas rakyat terus terjamin.
