Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi sedang meneliti cadangan mewajibkan aplikasi WhatsApp mengesahkan nombor telefon yang dipautkan kepada setiap akaun bagi mengekang penyalahgunaan platform itu untuk kegiatan penipuan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah berkenaan antara tindakan tambahan yang sedang dipertimbangkan susulan perubahan modus operandi sindiket penipuan.
Menurutnya, isu berkenaan turut dibangkitkan beberapa negara di peringkat antarabangsa, termasuk dalam perbincangan bersama Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
“Pada waktu ini, WhatsApp tidak menggunakan syarat pengesahan akaun.
“Namun, di beberapa negara, isu penyalahgunaan WhatsApp untuk tujuan panggilan penipuan turut dibangkitkan.
“Antara perkara yang sedang diteliti adalah pengesahan identiti dan nombor telefon digunakan untuk akaun WhatsApp,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Projek Rintis Sistem Keselamatan Warga Emas di Razak Mansion, di sini, hari ini.

Mengulas penahanan 61 individu yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan, termasuk menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor, Fahmi berkata, kerajaan akan memastikan semua suspek yang diberkas disiasat dan dihadapkan ke mahkamah sekiranya terdapat bukti pelanggaran undang-undang.
Dalam pada itu, beliau berkata, MCMC turut meneliti beberapa langkah teknikal tambahan di peringkat rangkaian bagi mengekang kegiatan penipuan yang semakin berkembang dengan taktik baharu.
“MCMC melaksanakan perubahan teknikal mengekang apa yang disebut sebagai spoofing calls dan ia sudah berjaya dilaksanakan.
“Bagaimanapun, scammer beralih kepada cara berbeza, jadi ini kita nampak perlu beberapa tindakan tambahan,” katanya.



