Anthony Loke
KLUANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tunduk kepada sebarang desakan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal selagi masih mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, keputusan pembubaran Parlimen merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan tidak seharusnya dipengaruhi tekanan mana-mana pihak.
“Sudah tentu kita tahu bahawa akan ada tekanan yang cuba dibawa untuk membubarkan Parlimen kepada Perdana Menteri.
“Tetapi saya kata, pertama, kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen adalah di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Selagi Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, tidak ada sebab perlu tunduk kepada mana-mana tekanan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, DAP berpandangan Anwar wajar memanfaatkan tempoh setahun lagi untuk memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda reformasi kerajaan.
Katanya, antara keutamaan ialah meneruskan reformasi perundangan yang dirancang dan kini berada pada peringkat akhir pelaksanaan.
Selain itu, beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan serta penggubalan Rang Undang-Undang baharu turut perlu diberi perhatian.
Langkah berkenaan penting bagi memperkukuh tatakelola, menambah baik pengurusan kewangan negara serta memastikan usaha membanteras rasuah dapat dipertingkatkan.

