
PEMBERIAN baucar buku kepada lebih 400,000 guru sekolah di seluruh negara membuktikan keazaman Kerajaan MADANI membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memperluaskan baucar buku kepada para guru tahun ini sebagai salah satu cara memberi pengiktirafan terhadap peranan guru yang bukan sahaja menyebarkan ilmu tetapi juga bertanggungjawab memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar.
“Tahun lepas, kerajaan salurkan baucar kepada pelajar dan murid. Tahun ini, kita beri pula kepada guru-guru sebagai tanda penghargaan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), semalam.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron.
Anwar turut menegaskan bahawa garis panduan pemilihan buku yang dibeli menggunakan baucar perlu diperketatkan bagi memastikan ia membabitkan karya berkualiti dan berunsur ilmu.
“Buku yang dibeli mestilah bermutu, bukannya buku picisan. Kita mahu bahan bacaan yang mampu membina minda masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan ilmu,” katanya.
Bagi peringkat universiti pula, Anwar memaklumkan bahawa peruntukan baucar buku kepada pelajar akan dikekalkan seperti tahun lalu.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti kadar serta kategori penerima, termasuk kemungkinan penyesuaian kadar mengikut tahap pengajian seperti mahasiswa sarjana dan pascasiswazah.
“KPT akan tetapkan jumlah dan kategori penerima. Kita mahu program ini benar-benar memberi manfaat,” tambahnya.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) akan segera memperincikan inisiatif pemberian baucar buku kepada semua Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di bawah kementerian itu dan melaksanakannya dalam tempoh terdekat.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri mengenai inisiatif berkenaan yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 430,000 PPP di seluruh negara.
“KPM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman pemberian baucar buku kepada semua PPP di bawah KPM ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
“Pengumuman Perdana Menteri mencerminkan keprihatinan beliau terhadap kepentingan membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat, termasuk golongan pendidik,” menurut kenyataan itu.



