
KOTA KINABALU – Kesejahteraan emosi golongan muda khususnya Generasi Z perlu diberi perhatian sama serius dengan pencapaian akademik bagi memastikan mereka mampu menghadapi tekanan dan cabaran kehidupan masa kini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, pembangunan generasi muda tidak seharusnya diukur berdasarkan keputusan peperiksaan dan kelayakan akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kematangan emosi, keyakinan diri serta daya tahan menghadapi kegagalan.
“Meskipun Generasi Z mempunyai akses lebih luas kepada teknologi, maklumat dan peluang pendidikan, mereka turut berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan sosial, buli siber serta ketidaktentuan mengenai masa depan.
“Mempersiapkan golongan muda untuk menghadapi masa depan memerlukan lebih daripada kecemerlangan akademik. Kita juga perlu memastikan mereka mempunyai kematangan emosi, keyakinan diri dan daya tahan untuk mengurus tekanan serta cabaran yang dihadapi dalam kehidupan seharian,” katanya dalam satu kenyataan media, selepas perasmian Program Cabaran dan Peluang Gen Z, di sini, pada Ahad.

Mengenai program berkenaan, Julita berkata, ia turut membincangkan pelbagai aspek pembangunan generasi muda termasuk komunikasi keluarga, pengurusan emosi, literasi kewangan, pembangunan kerjaya serta peluang dalam ekonomi digital.
“Saya seru ibu bapa supaya lebih peka terhadap cabaran emosi anak-anak dan tidak memandang ringan kebimbangan yang dihadapi golongan remaja masa kini.
“Pendekatan komunikasi yang terbuka perlu diamalkan, selain mengelakkan sikap terlalu mengawal sehingga menyebabkan anak-anak berasa takut atau sukar meluahkan perasaan.
“Ibu bapa perlu mewujudkan persekitaran yang selamat supaya golongan muda berasa selesa untuk berkongsi cabaran emosi, pengalaman di media sosial dan kebimbangan mengenai masa depan tanpa takut dihakimi,” ujarnya.
Tambahnya, apa yang diperlukan oleh golongan muda bukanlah kritikan atau nasihat serta-merta, tetapi seseorang yang sanggup mendengar dan memahami apa yang sedang mereka lalui.
“Keluarga kekal sebagai sumber sokongan utama dalam membentuk sahsiah dan kesejahteraan emosi golongan muda, manakala sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut memainkan peranan penting dalam menangani isu buli siber dan meningkatkan literasi digital.
“Justeru, usaha membangunkan Generasi Z yang berdaya tahan memerlukan kerjasama menyeluruh antara keluarga, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan masyarakat,” jelasnya.
Turut hadir Pengarah JHEWA Sabah, Haslina Ismail; Timbalan Pengerusi MPWS, Datuk Fauziah Abu Bakar Titingan; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MPWS, Prof Ts Dr Imbarine Bujang; serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Henry Idol.



