
LAWAS – Pelan induk pembangunan semula Trusan Bazaar yang terjejas akibat kebakaran besar sekitar 2015 kini memasuki peringkat pelaksanaan, serentak dengan penyerahan kunci rumah baharu kepada 15 keluarga yang terlibat secara langsung dengan projek tersebut.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek yang melibatkan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) serta agensi berkaitan itu amat diperlukan memandangkan premis perniagaan sedia ada kini berada dalam keadaan usang dan berpotensi mendatangkan risiko keselamatan kepada peniaga serta penduduk.
“Pembangunan semula ini amat penting bagi memastikan Trusan mempunyai persekitaran yang lebih teratur, selesa dan selamat, sekali gus memulihkan kegiatan ekonomi penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Trusan dan Pelancaran Projek Pembangunan Semula Trusan Bazaar di Dewan Masyarakat Trusan, pada Khamis.

Menurut beliau, skop projek itu merangkumi pembangunan infrastruktur, pembinaan bangunan Pejabat Daerah Kecil Trusan serta penyediaan kemudahan awam.
Bagi membolehkan kerja perobohan bangunan lama, kerja tanah dan pembinaan infrastruktur dijalankan, peniaga sedia ada turut disediakan tempat berniaga sementara.
Beliau menambah, kedudukan strategik Trusan yang berhampiran Brunei Darussalam turut membuka peluang kepada kawasan itu untuk berkembang sebagai pusat logistik dan perdagangan rentas sempadan.
Mengulas mengenai penempatan penduduk, Awang Tengah berkata sebanyak 15 keluarga yang terjejas secara langsung akibat pembangunan semula pekan berkenaan diberi keutamaan menerima rumah baharu menerusi SPK Trusan.
Katanya, walaupun kos sebenar pembinaan seunit rumah termasuk penyediaan tapak dan infrastruktur dianggarkan RM502,000, Kerajaan Sarawak menawarkannya pada harga bersubsidi RM150,000 seunit.
“Kerajaan memberikan subsidi yang besar supaya keluarga yang terlibat dapat memiliki rumah sendiri dengan harga yang lebih mampu milik,” ujarnya.
Penerima yang layak turut boleh memohon bantuan deposit sebanyak RM10,000 menerusi Mutiara Mortgage & Credit Sdn. Bhd., sekali gus mengurangkan kos bersih pembelian kepada RM140,000 seunit.
Secara keseluruhan, SPK Trusan fasa pertama melibatkan 59 lot, manakala tambahan 50 lot lagi dirancang pada fasa seterusnya.
Sementara itu, Pengurus Besar LCDA, Datuk Seri Zaidi Mahdi berkata, kesemua 15 unit kediaman yang dibina telah siap sepenuhnya termasuk memperoleh Permit Menduduki (OP) serta bekalan elektrik dan air.
“Kesemua 15 buah rumah ini telah siap sepenuhnya dan dilengkapi kemudahan asas, membolehkan penerima berpindah masuk ke kediaman masing-masing,” katanya.
Setiap rumah berkeluasan 871 kaki persegi yang dibina menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) itu dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur, selain dilindungi tempoh tanggungan kecacatan selama 12 bulan oleh LCDA bagi kerja pembaikan sekiranya diperlukan.

