
SANDAKAN – Penduduk Sandakan dijangka berdepan gangguan bekalan elektrik dan air sehingga sembilan hari susulan kejadian menara penghantaran elektrik tumbang akibat pergerakan tanah dan hujan lebat berterusan di Ranau.
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Walter Kenson berkata, kejadian itu menjejaskan Talian Penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik di lapan daerah di Pantai Timur Sabah, termasuk Sandakan.
Menurutnya, kerja-kerja pembaikan dan pemulihan infrastruktur penghantaran elektrik di lokasi kejadian dijangka mengambil masa antara enam hingga sembilan hari, bergantung kepada keadaan cuaca dan situasi di lapangan.
“Sabah Electricity (SE) Sandakan sedang berusaha memulihkan bekalan elektrik menggunakan stesen janakuasa tempatan di Stesen Libaran, Batu Sapi, Labuk, Seguntor dan Mowtas.
“Bagaimanapun, kapasiti penjanaan stesen berkenaan adalah terhad dan tidak mampu menampung keseluruhan permintaan pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan berkata, keadaan itu menyebabkan catuan bekalan elektrik di beberapa kawasan tidak dapat dielakkan bagi memastikan kapasiti sedia ada dapat diagihkan sebaik mungkin.
Menurutnya, gangguan bekalan elektrik turut memberi kesan kepada operasi Loji Rawatan Air (LRA), sekali gus berpotensi menjejaskan proses rawatan dan pengagihan air kepada pengguna.
Katanya, bekalan air Sandakan bergantung kepada empat loji utama iaitu LRA Segaliud, LRA Kinabatangan, LRA Sibuga dan LRA Hilltop.
“Gangguan terhadap operasi loji-loji ini memberi kesan kepada kelancaran pengagihan bekalan air, menyebabkan catuan mungkin terpaksa dilaksanakan berikutan kapasiti pengeluaran dan simpanan air yang terhad,” ujarnya.
Beliau berkata, perkhidmatan internet juga berkemungkinan mengalami gangguan kelancaran susulan ketidakstabilan bekalan elektrik.
Dalam pada itu, Walter memohon maaf kepada seluruh penduduk atas kesulitan yang dialami, khususnya golongan warga emas, kanak-kanak, pelajar, pesakit dan peniaga yang bergantung kepada bekalan elektrik serta air dalam urusan harian.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan gangguan berkenaan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang menduduki peperiksaan ketika ini.
“Saya bersimpati dengan cabaran yang terpaksa mereka hadapi dan berharap semua calon SPM terus bersabar serta bertenang, selain mencari alternatif terbaik agar gangguan ini tidak menjejaskan persediaan dan tumpuan mereka dalam peperiksaan.
“Ibu bapa dan masyarakat juga diseru memberikan sokongan serta bantuan sewajarnya kepada para pelajar sepanjang tempoh ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan SE Sandakan dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi mendapatkan perkembangan terkini, memantau usaha pemulihan serta mengenal pasti keperluan bantuan kepada penduduk.
Penduduk turut dinasihatkan supaya berjimat menggunakan air, menyimpan bekalan secukupnya dalam bekas bersih dan bertutup serta mengurangkan penggunaan peralatan elektrik yang tidak diperlukan.
Mereka juga diminta memberikan perhatian kepada jiran yang memerlukan bantuan, khususnya warga emas, orang kurang upaya, keluarga yang mempunyai bayi dan pesakit yang bergantung kepada peralatan perubatan.
Selain itu, penduduk diingatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan mendapatkan perkembangan terkini menerusi saluran rasmi SE, JANS serta JPBD Sandakan.
“JPBD Sandakan akan terus memantau perkembangan situasi ini dan memastikan tindakan sewajarnya diambil demi kepentingan serta kesejahteraan seluruh penduduk Sandakan,” katanya.


