
DARO – Pembinaan sebuah dewan sekolah bernilai RM1.8 juta di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tebaang di sini kini berada dalam perhatian bagi meningkatkan keselesaan prasarana pendidikan murid dan warga sekolah berkenaan.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, projek pembangunan kemudahan tersebut bakal dilengkapi dengan kelengkapan perabot serta sistem siar raya yang sempurna.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Al-Quran Peringkat SK Kampung Tebaang di Masjid Al-Umran, Kampung Tebaang, di sini pada Jumaat.

Turut hadir memeriahkan majlis yang menghimpunkan kira-kira 200 warga sekolah dan penduduk tempatan itu ialah Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Dalam ucapannya, Dr. Safiee mengakui memahami kekangan sumber kewangan yang dihadapi pihak sekolah untuk melaksanakan program dan memenuhi keperluan kebajikan murid.
“Sehubungan itu, usaha mendapatkan dana tambahan sedang dibawa ke peringkat perbincangan bagi membantu SK Kampung Tebaang serta sekolah-sekolah lain di sekitar DUN Daro,” katanya.
Beliau turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh kemudahan pendidikan di luar bandar menerusi kerjasama erat antara wakil rakyat, pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat.



