KUANTAN – Kerajaan Pahang memperuntukkan RM117.25 juta bagi memperkukuh pengurusan dan pembangunan 18 Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di seluruh negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, RM99.86 juta adalah untuk pengurusan manakala RM17.39 juta untuk pembangunan.
Katanya, keperluan tenaga pengajar turut dipenuhi dengan 512 guru ditempatkan bagi mengendalikan 256 kelas di kesemua sekolah berkenaan.
“Kita letakkan dua orang guru bagi setiap kelas yang mempunyai sekitar 30 hingga 45 orang pelajar,” katanya, lapor Pahang Media.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Pulau Manis, Mohamad Rafiq Khan Ahmad Khan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Menurutnya, kebajikan guru SMAN turut diberi perhatian menerusi penyeragaman kadar gaji dan elaun dengan guru di bawah Kementerian Pendidikan.
Kerajaan negeri juga meneruskan usaha memperkukuh status perjawatan guru kontrak dan sukarela melalui ASPA, dengan 100 guru diserap sebagai guru Contract of Service pada 2019 dan 41 lagi pada Oktober lalu.
“Seramai 30 orang lagi masih belum memenuhi syarat kelayakan, namun tawaran baharu bagi pelantikan guru SMAN telah dikeluarkan pada 16 November lalu,” katanya.


