
PUTRAJAYA – Kelewatan Google LLC mengambil tindakan terhadap aduan kandungan judi dalam talian di YouTube, termasuk kes yang mengambil masa lebih 90 hari, mendorong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat teknologi itu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, proses berhubung tindakan berkenaan sudah berlangsung agak panjang, khususnya membabitkan aduan terhadap kandungan perjudian dalam talian di platform berkenaan.
Katanya, terdapat aduan yang mengambil masa lebih 90 hari untuk tindakan, malah status sebahagian kandungan yang dilaporkan masih tidak diketahui sehingga kini.
“Pihak YouTube khususnya dan Google sangat culas dan sangat lewat untuk mengambil tindakan. Ada yang mengambil masa lebih 90 hari, dan ada yang sehingga ke hari ini tidak diketahui apa statusnya.
“Walaupun sifat kandungan tersebut berulang, kebiasaannya apabila pihak MCMC memfailkan aduan, ia adalah kandungan yang serupa berkait dengan judi dalam talian, tetapi pihak Google dan YouTube masih mengingkarinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai tindakan MCMC menyaman Google berbanding menggunakan kuasa kawal selia atau pelesenan sedia ada untuk mengarahkan syarikat itu mengambil tindakan terhadap kandungan berkenaan.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, tindakan saman itu dipilih MCMC bagi memastikan YouTube mematuhi kerangka kawal selia yang ditetapkan.
Katanya, memandangkan perkara itu sudah difailkan di mahkamah, proses selanjutnya akan diserahkan kepada saluran perundangan.
“Oleh sebab perkara ini sudah difailkan di mahkamah, kita serahkan kepada proses perundangan tersebut,” katanya.
Pada 25 November lalu, MCMC mengumumkan dua tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta.
Saman pertama membabitkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan, termasuk berkaitan perjudian dalam talian dan penipuan, manakala saman kedua berkaitan penerbitan semula kandungan oleh Papagomo yang didakwa melanggar undang-undang.
Bagi setiap saman, MCMC menuntut RM300 juta merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.
Terdahulu, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, saman MCMC terhadap Google berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu menangani kandungan memudaratkan di YouTube sudah diserahkan kepada peguam syarikat berkenaan di Malaysia.



