
DOKTOR selebriti, Dr Malar Santhi Santherasegapan menjelaskan soalan yang dikemukakannya dalam sesi Dialog Negara bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan disediakan mengikut skrip, sebaliknya dibina secara spontan ketika berada di dalam studio.
Penjelasan itu dibuat susulan dakwaan netizen yang mempersoalkan ketulenan sesi soal jawab berkenaan, termasuk tuduhan kononnya semua soalan panel telah dirancang lebih awal bagi membolehkan Perdana Menteri menyediakan jawapan.
Menerusi maklum balas di Threads pada Khamis, Dr Malar menjelaskan bahawa setiap panelis sememangnya ditetapkan mewakili sektor tertentu, termasuk dirinya yang membawa perspektif sektor kesihatan.
“Soalan tak ‘scripted’, tapi seksyen soalan ‘scripted’.
“Maksudnya dah ditetapkan yang Dr Malar wakil sektor kesihatan. Tak boleh tiba-tiba tanya pasal sekolah Tamil, haaa gitu,” katanya.

Beliau turut menjelaskan soalan panelis melalui semakan pihak penerbit bagi memastikan tatabahasa dan susunan ayat berada dalam keadaan baik, bukannya ditapis oleh Perdana Menteri.
Malah, panelis turut diingatkan beberapa kali supaya mengemukakan soalan secara spontan dan bebas mencelah sepanjang sesi berlangsung.
Mengulas pengalamannya sendiri, Dr Malar berkata beliau tidak menggunakan soalan yang telah melalui semakan penerbit, sebaliknya membina soalan baharu ketika berada di studio.
Terdahulu, Dr Malar menerusi hantaran Threads turut meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menjadi salah seorang panelis dalam Dialog Negara bersama Perdana Menteri.
Beliau berkata peluang itu membolehkannya membawa suara petugas kesihatan serta berkongsi perspektif berdasarkan pengalamannya sendiri sebagai seorang doktor.
Penjelasan berkenaan turut mendapat perhatian pengguna Threads yang sebelum ini mempersoalkan sama ada sesi soal jawab tersebut benar-benar berlangsung secara spontan.
“Dorang memang tak boleh terima kenyataan yang PMX tu ‘power’ sebab dorang takda langsung calon PM yang hebat macam tu. Calon PM dorang semuanya kena baca skrip format pdf,” tulis Fatin di ruangan komen.
Isu itu mencetuskan perbincangan dalam kalangan netizen mengenai format sesi dialog berkenaan, khususnya perbezaan antara penetapan bidang perwakilan panelis dengan penyediaan soalan yang dikemukakan.



