
PUTRAJAYA – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan turut melaksanakan 17 inisiatif keselamatan yang sebelum ini diguna pakai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), susulan kes penyalahgunaan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kegiatan pengedaran dadah.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, persetujuan Jemaah Menteri itu bertujuan memperketat kawalan keselamatan, termasuk di pangkalan udara serta fasiliti di bawah pentadbiran MINDEF.
Katanya, pelaksanaan inisiatif berkenaan perlu disegerakan bagi memastikan sebarang kelompangan keselamatan dapat dikenal pasti dan ditutup.
“Tujuh belas inisiatif itu dilihat memberi kesan yang baik terutama untuk mengesan pihak-pihak yang ingin menyalahgunakan saluran ataupun laluan tersebut.
“Namun, ia tidak termasuk pangkalan-pangkalan udara dan juga fasiliti-fasiliti atau premis-premis yang diselenggara dan diuruskan di bawah pentadbiran MINDEF,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Mengulas lanjut, Menteri Komunikasi itu berkata, siasatan terhadap kes membabitkan pegawai dan anggota TUDM yang ditahan mendapati kegiatan berkenaan dipercayai berlaku sejak 2024.
Katanya, kerajaan memandang serius perkara itu kerana aset ketenteraan yang diwujudkan untuk tujuan pertahanan negara tidak seharusnya disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.
“Kelompangan ini perlu ditutup segera,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 11 individu ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran 96.64 kilogram dadah menggunakan aset TUDM.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada lima pegawai TUDM dan enam orang awam susulan penemuan dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta.
Terdahulu, tiga pegawai TUDM antara enam individu didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan mengedar 96.2 kilogram syabu.



