KUANTAN – Kerajaan Pahang akan terus menuntut tunggakan premium tanah sebanyak RM72.364 juta dan denda RM498.7 juta daripada Felda Global Ventures (FGV).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beberapa siri rundingan telah diadakan bersama FGV dan FELDA bagi menyelesaikan tuntutan yang masih belum dibayar itu.
Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) telah memutuskan premium berkenaan dibayar terlebih dahulu oleh FGV, manakala rayuan terhadap denda premium RM498.7 juta hanya akan dibincangkan selepas bayaran premium diselesaikan.
“Pihak FGV sebelum ini telah mengemukakan surat kepada Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang bagi memohon lanjutan masa sehingga 30 November ini untuk menyelesaikan tunggakan berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri bersetuju dengan permohonan lanjutan tersebut dan mengemukakan surat FGV kepada PTG Pahang sebagai bukti komitmen bayaran.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan perkembangan terkini, FELDA masih belum menerima arahan atau ketetapan daripada Jabatan Perdana Menteri, sebaliknya perkara itu akan dibentangkan semula dalam Mesyuarat Lembaga FELDA pada Januari depan.
“Saya bagaimanapun masih berpegang kepada komitmen sebagaimana dalam surat ini bahawa bayaran itu sepatutnya diselesaikan hujung bulan ini,” katanya.


