
PUTRAJAYA – Syarikat di Malaysia diarahkan supaya tidak mengadakan sebarang urus niaga dengan firma yang disenarai hitam Amerika Syarikat (AS) berhubung isu cip Nvidia dan Megaspeed International bagi mengelakkan komplikasi terhadap urusan perniagaan serta perdagangan mereka.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, arahan itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani susulan pengumuman penyenaraian hitam beberapa syarikat terbabit.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan syarikat tempatan tidak berdepan masalah dalam urusan perdagangan susulan tindakan pihak berkuasa AS.
“Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga telah memberi beberapa maklumat susulan kepada pengumuman penyenaraian hitam sejumlah syarikat di Malaysia berkait dengan isu cip Nvidia dan Megaspeed.
“Beliau memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa syarikat-syarikat di Malaysia telah diarahkan untuk tidak mengadakan sebarang urus niaga dengan syarikat-syarikat yang telah disenarai hitam oleh pihak Amerika Syarikat (AS) bagi mengelak sebarang komplikasi dalam urusan perniagaan dan perdagangan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di sini, Jumaat.
Pada 24 November lalu, Jabatan Perdagangan AS menyenaraihitamkan syarikat berpangkalan di Singapura, Megaspeed International bersama beberapa firma sekutunya di Malaysia, Singapura dan Thailand.


