
KOTA KINABALU – Industri pelancongan Sabah terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menjana nilai ditambah sebanyak RM14.4 bilion pada tahun 2025, dengan pertumbuhan 5.6 peratus, sekali gus menyumbang 12.3 peratus kepada ekonomi negeri berbanding 11.9 peratus pada tahun sebelumnya.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pencapaian itu membuktikan sektor pelancongan kekal sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan penjanaan peluang pekerjaan di Sabah.
Beliau berkata, penerbitan Akaun Satelit Pelancongan Wilayah Sabah 2025 merupakan inisiatif Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) melalui kerjasama strategik dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi menyediakan data sektor pelancongan negeri yang lebih komprehensif dan berwibawa.
“Ini merupakan langkah penting kementerian dalam memperkukuh perancangan dan penggubalan dasar berasaskan data, selain membolehkan kita mengukur secara lebih tepat impak sebenar industri pelancongan terhadap ekonomi negeri dan kehidupan rakyat.
“Kejayaan sektor pelancongan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah kedatangan pelancong semata-mata, tetapi juga sejauh mana industri ini menjana pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Berdasarkan laporan DOSM, perdagangan runcit merupakan penyumbang terbesar kepada Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (NDKIP) dengan 45.6 peratus, diikuti perkhidmatan penginapan serta penyediaan makanan dan minuman sebanyak 30 peratus.
Penggunaan pelancongan dalaman turut meningkat 14.2 peratus kepada RM13.4 bilion berbanding RM11.7 bilion pada tahun 2024.
Manakala, perbelanjaan pelancongan inbound pula meningkat 20.8 peratus kepada RM7.5 bilion, manakala perbelanjaan pelancongan domestik mencatatkan pertumbuhan 6.8 peratus kepada RM5.9 bilion.
Jafry berkata, lebih signifikan, industri berkaitan pelancongan menyediakan pekerjaan kepada 415,100 orang pada tahun 2025, meningkat 7.1 peratus berbanding 387,600 orang pada tahun sebelumnya.
“Hampir satu daripada setiap empat individu yang bekerja di Sabah terlibat dalam industri berkaitan pelancongan. Ini jelas menunjukkan bahawa pelancongan bukan sekadar industri, tetapi merupakan sumber ekonomi dan mata pencarian kepada ratusan ribu rakyat Sabah.
“Data ini juga memberikan keyakinan kepada kerajaan negeri dan pemain industri untuk terus memperkukuh pelaburan, pembangunan produk pelancongan serta penyertaan komuniti tempatan,” ujarnya.
Jafry turut merakamkan penghargaan kepada DOSM atas kerjasama dalam menjayakan inisiatif kementerian itu.
Katanya, dapatan tersebut akan menjadi rujukan penting kepada KePKAS dalam merangka strategi pembangunan sektor pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
“Komitmen kita adalah untuk memastikan pertumbuhan industri pelancongan Sabah terus mampan, berdaya saing dan inklusif.
“Apabila pelancongan Sabah berkembang, ekonomi negeri mesti bertambah kukuh dan rakyat Sabah mesti turut menikmati manfaatnya,” jelasnya.

