
KUALA LUMPUR – Anggaran kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia yang mencecah RM19.7 bilion dalam tempoh setahun menjadi peringatan mengenai keperluan memperkukuh langkah pencegahan dan perlindungan rakyat daripada ancaman jenayah digital.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempergiat usaha memperkukuh keselamatan siber menerusi penganjuran NEXSEC2026 yang memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan operasi, kerjasama strategik, inovasi teknologi dan pembangunan bakat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, usaha kerajaan menerusi MCMC dengan kerjasama syarikat telekomunikasi telah membantu mengurangkan beberapa bentuk penipuan, termasuk pemalsuan identiti pemanggil atau call spoofing.
“Walaupun kita telah mengambil beberapa langkah, namun penjenayah sudah pasti akan mencari jalan baharu.
“Sudah tentu menjadi satu keutamaan untuk pihak MCMC bekerjasama dengan badan-badan seperti Global Anti-Scam Alliance (GASA) bagi mengenal pasti langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan melindungi rakyat Malaysia daripada jenayah scam,” katanya, seperti dipetik media tempatan.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan kepentingan Malaysia meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi perkembangan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum.
Katanya, persediaan awal diperlukan bagi memastikan keselamatan infrastruktur digital negara kekal terjamin seiring kemajuan teknologi.
