
KUCHING – Parti Rakyat Sarawak (PRS) mengingatkan seluruh ahlinya supaya menghormati keputusan pemilihan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan tidak menjadikan kegagalan dipilih sebagai alasan untuk merajuk atau mensabotaj parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Presidennya, Datuk Seri John Sikie Tayai berkata, disiplin dan kesetiaan terhadap keputusan kepemimpinan merupakan antara prinsip penting bagi memastikan kerjasama antara parti komponen GPS terus terpelihara.
“Ahli yang tidak terpilih sebagai calon perlu terus memberikan sokongan kepada individu yang diputuskan oleh kepimpinan parti tanpa mengira perbezaan pandangan atau kepentingan peribadi.
“Siapa pun yang dipilih menjadi calon, kita sokong. Siapa pun yang tidak dipilih, kita tetap berjuang. Kerana yang penting bukan siapa calon, yang penting parti kuat, GPS menang, dan Sarawak terus stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Ahad.
John Sikie berkata, PRS menyokong penuh saranan Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ketika Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan pada 15 November lalu supaya ahli terus menyokong calon yang dipilih.
Menurutnya, prinsip itu bukan sahaja terpakai kepada PBB, malah perlu diamalkan oleh semua parti komponen GPS termasuk PRS, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
“Jangan kita jadikan tidak terpilih sebagai calon sebagai alasan untuk berhenti berjuang. Jangan kita jadikan tidak terpilih sebagai alasan untuk merajuk. Jangan kita jadikan tidak terpilih sebagai alasan untuk mensabotaj parti sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, John Sikie menegaskan komitmen PRS untuk mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diamanahkan kepada parti berkenaan pada pilihan raya akan datang.
Katanya, seluruh jentera PRS akan digerakkan secara bersepadu bagi memastikan persediaan menghadapi pilihan raya dilaksanakan dengan tersusun di setiap peringkat.
“PRS akan memastikan semua kerusi yang diamanahkan kepada PRS akan dipertahankan dengan penuh kekuatan. Kita akan bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.
Beliau turut menggesa sayap Wanita dan Pemuda PRS serta jentera parti supaya mempergiatkan aktiviti turun padang, khususnya di rumah panjang, kampung dan kawasan luar bandar.
Menurutnya, hubungan dengan masyarakat perlu dipelihara secara berterusan dan tidak seharusnya hanya diberikan perhatian ketika musim pilihan raya.
“Bermula hari ini, turun ke lapangan. Turun ke rumah panjang. Turun ke kampung. Dengar suara rakyat. Bantu rakyat. Jangan tunggu musim pilihan raya baru hendak turun,” katanya.
Sikie turut menekankan bahawa cabaran yang perlu diberikan perhatian termasuk usaha meningkatkan pembangunan luar bandar, mempertahankan hak tanah adat Bumiputera (NCR), menyediakan infrastruktur asas serta memperluas peluang pendidikan dan pekerjaan.
Beliau berkata, penyediaan jalan raya, bekalan air dan elektrik serta peluang ekonomi kepada golongan muda merupakan antara keperluan masyarakat yang perlu terus diberi perhatian.
Pada masa sama, beliau menyeru seluruh jentera parti supaya mengutamakan kempen yang berdisiplin dan berasaskan fakta serta mengelakkan penyebaran fitnah dan perselisihan yang boleh menjejaskan hubungan masyarakat.
“Kita mesti berjuang dengan cara yang bersih. Berjuang dengan fakta. Berjuang dengan kerja. Berjuang dengan disiplin,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kesepakatan antara parti komponen GPS perlu dikekalkan walaupun wujud perbezaan pandangan mengenai pemilihan calon.
Majlis pelancaran jentera pilihan raya itu turut dihadiri Abang Johari bersama barisan kepimpinan tertinggi dan ahli parti komponen GPS sebagai persediaan menghadapi PRN Sarawak ke-13.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)



