
KUCHING – Parti Demokratik Progresif (PDP) berhasrat mempertahankan kesemua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini disandangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, sambil menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya telah membuat persediaan menghadapi pilihan raya berkenaan dan yakin kerjasama antara parti komponen GPS dapat diperkukuh melalui sikap saling menghormati serta kepercayaan antara satu sama lain.
“PDP akan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, khususnya dalam usaha mengekalkan kestabilan politik dan meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Matlamat bersama kita tidak berubah, iaitu memelihara perpaduan dalam GPS dan memastikan Sarawak terus menikmati kestabilan, kemajuan serta kemakmuran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Ahad.
Dalam pada itu, King Sing turut membangkitkan kebimbangan akar umbi PDP berhubung pengagihan kerusi DUN Bawang Assan dan Engkilili yang menjadi pertindihan tuntutan antara parti komponen GPS.
Beliau berkata, PDP sebelum ini pernah berkompromi dalam isu melibatkan tiga kerusi demi memelihara keharmonian gabungan dan berharap kebimbangan ahli parti dapat diberikan perhatian sewajarnya.
“Kita pernah kehilangan tiga kerusi sebelum ini. Ketika itu, kita memilih untuk berdiam diri demi menjaga perpaduan dan keharmonian dalam gabungan.
“Bagaimanapun, dengan pilihan raya yang semakin hampir, ahli akar umbi kita semakin bimbang mengenai pengagihan kerusi Bawang Assan dan Engkilili,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap Abang Johari dapat membantu menyelesaikan isu berkenaan secara baik bagi memastikan perpaduan dalam PDP serta hubungan antara parti komponen GPS terus terpelihara.
King Sing menegaskan bahawa sebagai Presiden PDP, beliau bertanggungjawab menjaga kepentingan parti, termasuk menyuarakan pendirian akar umbi berhubung lapan kerusi yang kini disandang wakil rakyat PDP.
Untuk rekod, PDP memenangi lima kerusi pada PRN Sarawak ke-12 pada 2021, iaitu Tasik Biru, Meluan, Krian, Marudi dan Dudong.
Tiga kerusi lagi, iaitu Bawang Assan, Engkilili dan Ba’kelalan, menjadi sebahagian daripada kedudukan PDP dalam DUN selepas pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan penyertaan bekas wakil rakyatnya ke dalam PDP pada 2024.
Sementara itu, King Sing menjelaskan bahawa beliau sendiri belum menyerahkan senarai calon PDP kepada Pengerusi GPS, sekali gus menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan penyerahan senarai berkenaan.
Menurutnya, penyebaran maklumat tersebut telah menimbulkan kekeliruan sehingga beberapa penyandang mempersoalkan dakwaan bahawa nama mereka tidak dimasukkan dalam senarai calon.
“Saya tidak pernah menyerahkan senarai calon. Saya mengikuti nasihat Pengerusi GPS dan menyerahkan pemilihan calon serta keputusan akhir sepenuhnya kepada beliau,” katanya.
Mengulas mengenai kriteria pemilihan calon, termasuk pencapaian pada PRN 2021 dan faktor usia, King Sing berkata, beliau menghormati pertimbangan Pengerusi GPS serta bersedia menerima pendekatan yang diputuskan oleh kepimpinan gabungan.
“Apabila Pengerusi sebelum ini mengatakan faktor usia perlu diambil kira, saya menyokongnya.
“Sekiranya beliau kini berpandangan usia tidak lagi perlu menjadi faktor penentu, saya juga bersedia menyokong keputusan itu,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaan Abang Johari menyelesaikan pertindihan tuntutan kerusi antara parti komponen secara muafakat tanpa menjejaskan hubungan dalam GPS.
Dalam perkembangan sama, King Sing mengingatkan bahawa kerjasama politik tidak seharusnya sekadar dinyatakan melalui slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan persefahaman antara semua pihak.
“Kita sering bercakap mengenai kerja berpasukan, tetapi kerja berpasukan tidak boleh sekadar slogan atau penampilan luaran. Ia mesti dibuktikan melalui tindakan yang bermakna,” katanya.
Menurutnya, semangat kerjasama yang tulen penting bagi memastikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), PDP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) terus bergerak sebagai satu gabungan.
King Sing menegaskan PDP akan terus bekerjasama dengan semua parti komponen GPS dalam menghadapi PRN Sarawak ke-13, dengan memberikan keutamaan kepada kestabilan politik, pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, 8 Disember bagi pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak ke-13.



