
JASIN – Rekod pentadbiran selama kira-kira 22 bulan ketika menerajui Melaka menjadi bukti Datuk Seri Adly Zahari wajar diberi peluang sekali lagi untuk memegang jawatan Ketua Menteri, kata Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata, Adly menunjukkan pendekatan kepimpinan sederhana dengan mengutamakan kebajikan rakyat, khususnya dalam memastikan tiada penduduk berdepan masalah kekurangan makanan atau tempat tinggal.
“Dia tidak mahu melihat orang Melaka mengadu lapar kerana tiada makanan. Kedua, dia tidak mahu melihat orang Melaka tiada rumah.
“Orang muda yang tiada rumah, kita cari jalan supaya mereka boleh menyewa atau memiliki rumah dengan mudah. Ini slogan Adly Zahari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Kelompok DUN Merlimau di Taman Panglima Pak, di sini, Isnin.
Mohamad berkata, kesederhanaan Adly turut terserlah apabila beliau tidak memilih untuk menetap di kediaman rasmi Ketua Menteri, Seri Negeri, sebaliknya menjadikannya rumah tetamu kerana berasakan kediaman itu terlalu besar.
Katanya, sepanjang tempoh kira-kira 22 bulan menerajui Melaka, Adly juga tidak dikaitkan dengan isu kontroversi membabitkan pasar atau pengambilan tanah seperti yang sering menjadi perhatian dalam pentadbiran negeri.
Beliau berkata, rekod berkenaan wajar diberi perhatian pengundi, terutama ketika kempen pilihan raya menyaksikan pelbagai kritikan dilemparkan terhadap calon Pakatan Harapan (PH).
“Takkanlah tuan-tuan tak beri peluang orang macam ini menjadi Ketua Menteri balik? Nak dia jadi Ketua Menteri, sini kena menang. Merlimau kena menang,” katanya.
Mohamad berkata, Adly yang juga bekas Ketua Menteri Melaka itu mempunyai pengalaman pentadbiran dan rekod perkhidmatan yang boleh dinilai rakyat sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.
Dalam pada itu, beliau turut mengetengahkan rekod beberapa pemimpin Amanah yang pernah diberi tanggungjawab menerajui kementerian ketika Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada 2018.
Antaranya, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, yang diberi tanggungjawab membetulkan pentadbiran Lembaga Tabung Haji (TH), selain bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memperkenalkan inisiatif Rahmah.
Beliau berkata, pengalaman itu menunjukkan Amanah menggunakan peluang dalam kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab dan membawa manfaat kepada rakyat, bukannya mengambil kesempatan mengumpul kekayaan peribadi.
Mohamad turut mengingatkan pengundi supaya menilai pemimpin berdasarkan rekod perkhidmatan, integriti dan hasil kerja, bukannya terpengaruh dengan retorik politik serta sentimen perkauman.

