CREATOR: gd-jpeg v1.0 (using IJG JPEG v80), quality = 70?
BUKIT RAMBAI – Kemudahan pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (SME) disediakan kerajaan perlu terus diperkasakan dengan pendekatan lebih fleksibel bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya tahan ekonomi.
Penduduk Bukit Rambai, Datuk Jaafar Bisman, 70, berkata, antara aspek yang boleh diberikan perhatian ialah syarat dokumentasi kewangan dan penyediaan laporan audit supaya bersesuaian dengan kemampuan serta latar belakang sesebuah perniagaan.
Menurut beliau, sebahagian syarikat yang sudah lama beroperasi mempunyai rekod perniagaan yang baik, namun berdepan kesukaran menyediakan laporan audit terkini berikutan kos khidmat juruaudit, setiausaha syarikat dan perakaunan.
“Kaedah untuk memohon memang mudah, tetapi syaratnya perlu dilihat juga. Kita tahu kerajaan menyediakan kemudahan untuk membantu peniaga kecil dan besar, jadi elok jika ada sedikit kelonggaran berdasarkan keadaan syarikat
“Melonggar itu kita melihat juga track record dia. Syarikat ni kalau syarikat dua hari, tak boleh longgarkan. Syarikat ni dah 30 tahun bertapak, audit tak miss. Sampaikan 2024 dia buat audit.
“Daripada tahun 2000 contoh kan, 24 tahun dia buat, 24 tahun audit dia ada. Tapi apabila kita mohon, bagi 2024 sekarang tak terima, sebab audit nak tahun 2025,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.

Sehubungan itu, Jaafar menyeru Kerajaan menasihati institusi kewangan yang dilantik menguruskan pembiayaan SME melonggarkan syarat permohonan bagi memberi lebih banyak peluang pada usahawan mendapatkan modal perniagaan.
Katanya, kemudahan pembiayaan disediakan kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) perlu disokong pendekatan lebih fleksibel oleh pihak bank, khususnya dalam menilai kemampuan dan latar belakang syarikat pemohon.
“Kerajaan sebenarnya perlu menasihati bank supaya melonggarkan syarat ini. Pada masa sama, mereka perlu meneliti rekod prestasi syarikat bagi memastikan pembiayaan diberikan kepada perniagaan yang benar-benar berpotensi.
“Pendekatan itu membolehkan institusi kewangan mengenal pasti syarikat yang mempunyai keupayaan menjalankan perniagaan dan memenuhi tanggungjawab pembayaran balik pembiayaan,” katanya.


