
HANG TUAH JAYA – Pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak berpuas hati dengan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dicabar melepaskan jawatan dalam Kabinet daripada terus mengkritik kerajaan perpaduan, sedangkan masih kekal dalam pentadbiran.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, tindakan itu perlu bagi membuktikan pendirian dan prinsip seseorang pemimpin, seperti yang dilakukannya apabila meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan.
“Jika tidak berpuas hati, keluarlah. Jika tidak bersetuju dengan Perdana Menteri, letak jawatan. Saya sudah berbuat demikian. Bagaimana pula dengan anda, sahabat saya?” katanya ketika berucap pada ceramah di sini, malam tadi.
Beliau berkata, tindakan sesetengah pihak yang terus mengkritik kerajaan dan mempersoalkan pelbagai keputusan dasar, termasuk isu peruntukan kementerian, tidak selari dengan kedudukan mereka sebagai sebahagian daripada pentadbiran.
Katanya, pemimpin terbabit masih menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Anwar setiap Rabu dan Jumaat, walaupun parti mereka terus mengkritik Perdana Menteri.
“Setiap hari anda menyuarakan ketidaksetujuan, sedangkan parti anda menyerang Perdana Menteri siang dan malam dengan mendakwa pelbagai perkara tidak betul. Namun, anda masih berada dalam kerajaan.
“Setiap Rabu dan Jumaat, anda menghadiri mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Anwar Ibrahim. Apa sebenarnya yang anda mahu?” katanya.
Ahli Parlimen Seremban itu turut mempersoalkan tindakan pihak yang tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan dan keputusan pemberian peruntukan, tetapi masih enggan meninggalkan pentadbiran.
Dalam pada itu, Anthony menyeru pengundi di Melaka menggunakan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini untuk menyampaikan mesej kepada pihak yang mendesak Anwar membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU).
Katanya, mandat untuk menentukan hala tuju kerajaan Persekutuan masih berada di tangan Perdana Menteri dan beliau akan terus mendapat sokongan Ahli Parlimen DAP.
“Walaupun ada pihak tertentu memberi tekanan kepada Perdana Menteri supaya membubarkan Parlimen, kita mahu mengingatkan mereka bahawa mandat masih berada di tangan Anwar.
“Walaupun saya sudah meletakkan jawatan sebagai menteri, saya sudah berjanji semua Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong Anwar. Beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Walaupun tidak menyebut nama secara khusus, kenyataan Anthony itu dipercayai ditujukan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sebelum ini berpandangan pembubaran Parlimen dan pemulangan mandat kepada rakyat lebih baik berbanding rombakan Kabinet.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, beliau tidak melihat keperluan untuk rombakan Kabinet dilakukan ketika ini.
Terdahulu, Anthony mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan pendirian berprinsip yang diumumkannya sebelum ini.


