
JASIN – Wakil rakyat yang merasakan elaun diterima tidak mencukupi sepatutnya memperjuangkan kenaikan imbuhan berkenaan mengikut saluran sewajarnya, bukannya menyalahgunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu perlu diberi perhatian susulan persoalan mengenai pemilikan harta sesetengah individu yang pernah memegang jawatan menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang didakwa tidak sepadan dengan pendapatan rasmi mereka.
“Kalau ADUN berasa tidak cukup elaun, perjuangkan untuk naikkan elaun. Jangan curi.
“Kita nampak sekarang ini, saya tidak mahu sebut satu persatu, berakhir sebagai menteri, berakhir sebagai Exco, tetapi harta yang dimiliki langsung tidak sepadan dengan gaji dan elaun mereka,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata demikian kepada media selepas menghadiri Ceramah Kelompok DUN Merlimau di Taman Panglima Pak, di sini, Isnin.
Mohamad berkata, isu berkenaan perlu dipandang serius kerana integriti dan amanah merupakan antara perkara utama yang perlu ada dalam diri setiap wakil rakyat.
Katanya, sekiranya seseorang merasakan imbuhan diterima tidak setimpal dengan tanggungjawab dipikul, perkara itu boleh diperjuangkan secara terbuka dan mengikut saluran yang betul.
Beliau berkata, pengundi juga perlu menilai calon berdasarkan integriti, kejujuran dan kemampuan memberikan perkhidmatan kepada rakyat, bukannya semata-mata latar belakang parti.
