
SUNGAI UDANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti dakwaan serangan siber terhadap laman web rasminya ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 berlangsung.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan.
“Saya belum menerima laporan penuh lagi. Insya-Allah, SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat berhubung perkara itu.
“Kita sama-sama berdoa supaya serangan siber ini tidak menyasarkan laman web SPR kerana ia amat penting dalam pelaksanaan pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses pengundian awal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SK) Kem Terendak, di sini, hari ini.
Ramlan berkata, SPR sudah bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan sistem agensi itu terus dilindungi daripada sebarang cubaan pencerobohan.
Menurutnya, kerjasama berkenaan turut membabitkan usaha memastikan keselamatan sistem yang digunakan SPR sepanjang proses pilihan raya.
Mengulas kemungkinan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), beliau berkata, SPR sudah menjalinkan kerjasama dengan pihak berkaitan dan sedang mengambil langkah bagi melindungi sistemnya.
“Kita sudah pun bekerjasama dan sedang mengambil tindakan untuk melindungi sistem kita daripada dicerobohi,” katanya.


