
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diingatkansupaya tidak mengulangi episod ketidaktentuan politik susulan kenyataannya yang meminta Parlimen dibubarkan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, pendirian Zahid itu dilihat bercanggah dengan kenyataan sebelum ini yang menyatakan komitmen untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong serta mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Menurutnya, rakyat masih mengingati tindakan UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai 2021, sebelum parti itu turut memberi ‘panduan’ kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen pada Ogos 2022.
“Apakah sekarang Zahid mahu mengulangi episod yang sama?” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Faezuddin berkata, kenyataan sedemikian bukan perkara kecil kerana boleh mencetuskan keresahan, menggugat kestabilan politik negara serta menjejaskan keyakinan pelabur.
Sehubungan itu, Faezuddin meminta UMNO dan Zahid memberikan ruang kepada Anwar untuk menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap usaha membangunkan negara serta memastikan Malaysia terus berada pada landasan yang betul
“Kasihan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang siang malam bekerja kuat memulihkan ekonomi, menarik pelaburan dan berusaha melaksanakan pelbagai reformasi. Tetapi dalam masa yang sama, terpaksa pula melayan kerenah politik Timbalan Perdana Menterinya sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan, percaturan politik yang mengutamakan perebutan kuasa tidak seharusnya mengorbankan kestabilan dan pencapaian yang telah dibina menerusi Kerajaan MADANI.
“Buat masa sekarang ini beri ruang kepada Perdana Menteri menumpukan sepenuh perhatian kepada segala usaha untuk membawa Malaysia ke satu tahap pencapaian yang terbaik.
“Cukup-cukuplah dengan episod perebutan kuasa yang pernah dan akan merugikan negara lagi.
“Apabila tiba masanya nanti, kita serahkan kepada rakyat untuk menilai dan menentukan siapa yang layak memerintah,” katanya.


