
HANG TUAH JAYA – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan beliau berpegang pada prinsip apabila menunaikan janjinya melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Beliau berkata, tindakannya itu membuktikan kenyataan yang dibuat sebelum ini bukan sekadar retorik politik, sebaliknya janji yang dilaksanakan apabila tiba masanya.
“Rakan saya, Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) ketika itu masih berada di Turkiye, ada lawatan kerja. Dia buat kenyataan, kata Najib akan dibebaskan. Anthony Loke bila nak letak jawatan?
“Saya nak bagitahu Datuk Seri Zahid, rakan sebelah saya. Kalau di Kabinet, dia duduk di sebelah kiri saya. Saya duduk di sebelah kanan dia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah Pakatan Harapan (PH) di Melaka Baru, di sini malam tadi.

Dalam masa sama, Anthony menyindir Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang didakwanya hanya berani mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan tetapi tidak mengambil tindakan seperti yang dijanjikan.
“Mungkin dia sudah lama biasa dengan MCA. Dia ingat, Presiden MCA cakap tak serupa bikin. Boleh ugut-ugut tetapi tak berani buat.
“Ini Setiausaha Agung DAP. Kita kotakan janji. Kita kotakan kata-kata, bukan macam Wee Ka Siong,” katanya.
Sebelum ini, Anthony mengumumkan hasrat meletakkan jawatan susulan keputusan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib pada September lalu, yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 November membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.
Susulan keputusan itu, Anthony mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.


