
SIAPA sangka kelab yang pernah bergelut dengan hutang dan hampir tersingkir dari Liga Bola Sepak Inggeris kini berada di tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kemenangan 2-0 ke atas Brentford awal pagi semalam menyaksikan skuad kendalian Fabian Hurzeler memintas Manchester City, Liverpool dan Chelsea. Arsenal pula berada di depan dengan perbezaan lima mata.
Pada 2009, Tony Bloom mengambil alih Brighton yang ketika itu tenggelam dalam hutang dan terperangkap di divisyen ketiga.
Dia mengubah kelab itu dengan data, pencarian bakat muda dan stadium baharu pada 2011.
Musim ini Brighton menang 7 daripada 10 perlawanan. Mereka membenam Arsenal 3-0, kemudian tumbangkan Manchester City 1-0 di Etihad.
Sementara City sibuk dengan rayuan kes kewangan, Liverpool dan Chelsea masih membina semula pasukan, Brighton diam-diam mengintai peluang untuk ulangi magis Leicester City 2016.
Hurzeler, 33 tahun, pengurus tetap termuda dalam sejarah EPL, tidak mahu penyokongnya berhenti bermimpi.
“Mereka boleh memasang impian dan meletakkan harapan tinggi terhadap kami,” katanya kepada Agensi.
Dari final Piala FA 1983 yang hampa, hampir tersingkir pada 1997, sehinggalah terpaksa menumpang di Gillingham sejauh 112km kerana tiada stadium sendiri, Brighton sudah lalui segala-galanya.
Kini, dari sebuah bandar tepi laut, mereka sedang menggoncang England.

