
LIMBANG – Seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Limbang semalam selepas didapati bersalah melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Parum Niot berkata, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani program pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya.
Menurut beliau, tertuduh juga dikenakan perintah pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
“Mahkamah turut mengeluarkan perintah melarang ahli keluarga tertuduh daripada mendekati atau mengganggu mangsa,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Parum berkata, pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian jenayah seksual terhadap kanak-kanak itu pada 7 Oktober lalu.
Susulan laporan tersebut, Polis Daerah Limbang membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berhubung kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.
“Hasil siasatan yang dijalankan membawa kepada penahanan seorang lelaki pada 12 Oktober lalu kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan,” katanya.



