
BANDA HILIR – Keretakan serta krisis kepercayaan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) semakin terserlah apabila calon MCA bertekad tidak akan menghadiri majlis penyerahan watikah calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), pada Rabu.
Keputusan itu dibuat susulan rasa tidak puas hati parti berkenaan terhadap tindakan UMNO yang didakwa membuat keputusan pembahagian kerusi dan pengumuman calon tanpa rundingan serta persetujuan MCA.
Sumber MCA memaklumkan, parti itu akan menentukan pendirian lanjut berhubung penyertaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas mesyuarat tergempar yang dilaksanakan di Wisma MCA, pada Rabu.
“Setakat ini, calon yang direstui Ahmad Zahid tidak akan hadir ke majlis watikah tersebut kerana mereka memilih untuk menghormati Presiden MCA dan akan mematuhi segala keputusan mesyuarat parti yang telah berlangsung pada jam 2.30 petang tadi.
“MCA sehingga kini amat terkilan UMNO sanggup bertindak menipu MCA bahawa acara pada Sabtu lalu adalah bagi pelancaran jentera pilihan raya dan bukannya untuk mengumumkan calon,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Sumber menegaskan, dakwaan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kemelut berkenaan sudah mencapai kata positif tidak menggambarkan pendirian sebenar MCA ketika ini.
Menurut beliau, MCA masih tidak berpuas hati dengan ketidakadilan pembahagian kerusi dan pengumuman calon BN dibuat tanpa rundingan serta persetujuan parti berkenaan.
“Keputusan mengenai pembahagian kerusi dan pengumuman calon dibuat tanpa rundingan serta persetujuan MCA. Itu tindakan yang tidak betul dari UMNO, seolah-olah peranan mami tidak penting, sebab itu kami marah dan menolak.
“Ada pemimpin UMNO kata isu bersama MCA sudah dalam keadaan baik, itu semua menipu. Kami masih lagi tidak berpuas hati dengan kepimpinan UMNO,” katanya.
