KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyerang Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dengan mendakwa parti penunggang Islam itu sebenarnya menjadi punca Perikatan Nasional (PN) rosak dan berpecah-belah.
Beliau membangkitkan sembilan dakwaan terhadap kepimpinan Pas, termasuk campur tangan dalam urusan Bersatu, pengkhianatan terhadap keputusan bersama serta kegagalan mentadbir PN secara amanah dan mengikut perlembagaan.
Menerusi kenyataan bertajuk ‘Apa Masalah Dengan Lebai?’, Tun Faisal mempersoalkan tindakan Tuan Ibrahim yang menyarankan Bersatu keluar daripada PN.
Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkenaan berkata, kepimpinan Pas sendiri bertanggungjawab terhadap kemelut yang melanda gabungan pembangkang itu.
“Pertama, mereka punca PN menjadi rosak dan berpecah belah. Mereka campur tangan dalam urusan dalam Bersatu sejak bulan Februari 2025,” ujarnya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Tun Faisal, campur tangan berkenaan turut diketahui bekas pemimpin Bersatu yang hadir dalam satu pertemuan di sebuah lokasi dikenali sebagai ‘Whitehouse’ pada waktu itu.
Beliau turut menyifatkan pemimpin Pas menyokong pihak yang cuba menjatuhkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui tindakan yang didakwanya melanggar perlembagaan parti, baiah dan sumpah atas nama Allah.
Malah, Tun Faisal membangkitkan dakwaan wujudnya pemberian dan penerimaan rasuah bagi mendapatkan akuan bersumpah (SD) untuk mengenepikan Muhyiddin, namun tidak mengemukakan bukti terperinci dalam kenyataan tersebut.
“Adakah lebai mengikut ajaran Islam jika berbuat begini?
“Pas ikut ajaran Islam kah apabila menyokong pihak yang cuba menjatuhkan Imam dengan cara yang salah, dengan rasuah dan dengan melanggar baiah dan sumpah?” soalnya.
Tun Faisal seterusnya mendakwa Pas menyebarkan tuduhan tidak benar terhadap Bersatu berhubung kemelut politik di Perlis dan Negeri Sembilan, selain isu penolakan keahlian Pejuang dan Berjasa dalam salah satu mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.
Beliau mendakwa masalah pertukaran Menteri Besar Perlis daripada Pas sebenarnya berpunca daripada kelemahan pentadbiran dan pertikaian dalaman pemimpin Pas negeri itu, bukannya disebabkan oleh Bersatu sebagaimana yang didakwa.
Selain itu, Tun Faisal menuduh Pas tidak amanah dalam melaksanakan keputusan mesyuarat MT PN, termasuk persetujuan meminda perlembagaan gabungan bagi menyerahkan kuasa membuat keputusan dasar kepada Majlis Presiden.
Katanya, pelaksanaan pindaan berkenaan telah ditangguhkan sebanyak dua kali, manakala beberapa keputusan lain termasuk urusan status Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat dan pelantikan Ketua Pembangkang turut didakwanya tidak dilaksanakan seperti dipersetujui.
Tun Faisal juga mempersoalkan pendirian Pas yang sering membawa agenda penyatuan Melayu-Islam, sedangkan parti itu sendiri didakwanya pernah memutuskan hubungan dengan Bersatu sebelum Pilihan Raya Negeri Johor.
Lebih keras, bekas Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu menegaskan bahawa Pas mengkhianati PN dengan mengadakan rundingan bersama pihak luar tanpa pengetahuan parti komponen dan MT PN.
“Pas mengkhianati PN apabila melakukan rundingan dengan pihak luar di belakang-belakang, tanpa pengetahuan MT PN dan parti anggota PN,” katanya.
Beliau turut merujuk kritikan Timbalan Presiden UMNO terhadap Pas yang tidak mempunyai keikhlasan dan kesetiaan dalam hubungan politik, malah menggunakan ungkapan bahawa parti itu ‘berselingkuh dengan semua parti’.
Menyentuh tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu, Tun Faisal sekali lagi menuding jari kepada kepimpinan Pas yang menurutnya gagal mematuhi perlembagaan dan keputusan mesyuarat gabungan berkenaan.
Tun Faisal mendakwa kegagalan pentadbiran PN memenuhi peraturan serta menjamin hak parti anggota menjadi punca tindakan RoS, sekali gus menolak tanggapan bahawa Bersatu semata-mata harus dipersalahkan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan gesaan Tuan Ibrahim supaya Bersatu meninggalkan PN sebagai tidak wajar kerana menurutnya pemimpin Pas yang menguruskan gabungan berkenaan sepatutnya terlebih dahulu menjawab dakwaan pelanggaran perlembagaan dan keputusan mesyuarat.
“Tindakan-tindakan salah pemimpin Pas dalam PN ini tidak sepatutnya disokong oleh Timbalan Presiden Pas kerana jelas tindakan-tindakan ini salah dari segi undang-undang dan tidak mengikut ajaran Islam,” katanya.
Beliau kemudian mengakhiri kenyataannya dengan mempersoalkan sama ada Tuan Ibrahim sedang mempertahankan tindakan yang didakwanya sebagai kemungkaran, ketidakadilan dan penindasan atas dasar semangat kepuakan atau asabiyah.
“Adakah Timbalan Presiden Pas sedang melindungi kemungkaran, ketidakadilan dan penindasan, serta mengamalkan assobiyah?” soalnya.
Semalam, Tuan Ibrahim menyarankan Bersatu menarik diri daripada PN secara terhormat sekiranya terus mengambil tindakan yang menurutnya melemahkan gabungan tersebut.
Tuan Ibrahim turut mengkritik tindakan Bersatu membuat aduan kepada RoS sehingga membawa kepada keputusan pembatalan pendaftaran PN, tetapi pada masa sama melahirkan rasa kesal terhadap keputusan berkenaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan RoS itu sementara menunggu permohonan semakan kehakiman PN diputuskan.

