Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Sebanyak 47,412 kandungan berunsur buli siber di media sosial dikenal pasti untuk tindakan permohonan penurunan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 81 peratus daripada kandungan berkenaan dikesan di platform TikTok, menjadikannya platform yang mencatatkan jumlah tertinggi.
“Jumlah itu berdasarkan aduan orang ramai yang diterima MCMC, namun bukan semua kandungan berkenaan telah diturunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program Pelajar Pemacu Negara: ‘Sayangi Diri, Jauhi Dadah dan Hargai Kehidupan’ di sini pada Rabu.

Fahmi berkata, kedua-dua platform berkenaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi membendung dan mengurangkan insiden buli siber yang semakin mendapat perhatian.
“Jadi, kita lihat dua platform ini perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan insiden buli,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kementerian Komunikasi turut memberi perhatian kepada penggunaan aplikasi WhatsApp dan Telegram yang menawarkan ciri penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption).
Menurutnya, ciri berkenaan membolehkan kumpulan perbualan peribadi diwujudkan tanpa akses terbuka kepada orang ramai, sekali gus menimbulkan cabaran untuk mengesan kegiatan buli siber yang berlaku dalam kumpulan tertutup.
Katanya, MCMC sedang meneliti isu itu, termasuk aduan berkaitan penyalahgunaan platform komunikasi bagi kegiatan buli siber serta penjualan barangan terlarang dan dadah.
“Penelitian lanjut akan dilakukan berdasarkan peruntukan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dan pelaksanaan mekanisme pengesahan umur serta identiti pengguna secara elektronik (eKYC),” katanya.


