KUALA LUMPUR – Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan memfitnah Yang di-Pertuan Agong.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah turut menaikkan jaminan Badrul sebanyak RM5,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman, manakala Badrul diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Pada 29 April 2024, bekas Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson itu didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah dengan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan berkenaan boleh merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, pada jam 6 petang, 22 Januari 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Badrul yang juga Penyelaras Parti Wawasan Negara (WAWASAN) Negeri Sembilan sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 2025.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan kes itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk prosiding pembelaan.

