Gambar hiasan
MARAN – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 59, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Md Yusoff Daud, 75, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah Toyota Vellfire dipandu seorang penjual telefon berusia 41 tahun dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Sri Jaya.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan dipercayai terbabas dan memasuki laluan MPV berkenaan sebelum kedua-dua kenderaan bertembung.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu Toyota Vellfire tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Kejadian berkenaan tular di media sosial selepas rakaman video berdurasi 15 saat memaparkan mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum tercampak ke atas jalan akibat pertembungan.
Wong berkata, punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai atau saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 017-943 6741 atau hadir ke balai polis berhampiran.



