
NEGERI Sembilan mewartakan pemecatan dua Undang yang kedudukannya dipertikaikan serta mengiktiraf pengganti baharu bagi dua jawatan Undang, dalam perkembangan terbaharu kemelut institusi adat negeri itu.
Dokumen rasmi bertarikh 23 Oktober itu ditandatangani Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sebelum diterbitkan secara rasmi sebagai warta.
Warta berkenaan mengesahkan pemecatan Mubarak Thahak sebagai Undang Sungei Ujong berkuat kuasa 13 Mei 2025, manakala Badarudin Abdul Khalid dipecat daripada jawatan Syahbandar Sungei Ujong, iaitu kedudukan yang berperanan sebagai pengimbang kuasa terhadap Undang di Luak berkenaan.
Turut diwartakan ialah pemecatan Maarof Mat Rashad sebagai Undang Jelebu yang berkuat kuasa pada 31 Mei 2023.
Dokumen itu menyatakan pemecatan berkenaan dibuat bagi mematuhi keputusan yang dicapai pemimpin adat di wilayah masing-masing.
Selain itu, warta berkenaan mengiktiraf pemasyhuran Hasan Ab Hamid sebagai Undang Rembau yang baharu, sekali gus menggantikan Abdul Rahim Yasin, yang statusnya sebagai Undang Rembau didakwa DKU tidak pernah dirasmikan mengikut tatacara sewajarnya.
Faris Johari turut diiktiraf sebagai pengganti Mubarak bagi jawatan Undang Sungei Ujong.
Sekiranya warta itu dianggap sah, perkembangan berkenaan akan melemahkan kedudukan kumpulan Undang yang berusaha menurunkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Susulan perkembangan itu, Undang Johol, Muhammed Abdullah, menjadi satu-satunya Undang yang tidak sehaluan dengan Tuanku Muhriz dan kedudukannya tidak dipertikaikan.
Bagaimanapun, pendirian kerajaan negeri berhubung warta berkenaan masih belum jelas.
Memetik Malaysiakini yang menghubungi Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan memaklumkan bahawa Datuk Ismail Lasim, selaku ketua eksekutif negeri, tidak terbabit dalam urusan adat negeri itu.
Sejak April lalu, Mubarak dan sekutunya dilaporkan berusaha menggunakan kuasa di bawah perlembagaan negeri untuk menurunkan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah dan menggantikannya dengan sepupu baginda, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.
Kemelut itu mencetuskan kebuntuan berpanjangan yang turut memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri.
Bulan lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mewartakan pemecatan semua anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pimpinan Ismail, selepas Tuanku Muhriz menarik balik perkenan pelantikan mereka susulan sokongan masing-masing terhadap kumpulan Mubarak.
Bagaimanapun, kesahan warta berkenaan dicabar bekas anggota Exco terbabit dengan merujuk peruntukan perlembagaan negeri yang menetapkan Yang di-Pertuan Besar bertindak atas nasihat Menteri Besar.
Mereka mendakwa nasihat berkenaan tidak diminta dalam proses pemecatan itu.
Sehingga perkara berkenaan diputuskan mahkamah, Ismail terus menjalankan pentadbiran kerajaan negeri secara bersendirian.



