
IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perak mengeluarkan 24 saman dan 14 Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) dalam Operasi Khas Institut Memandu (Ops OKIM) yang dijalankan terhadap enam institut memandu di daerah Kinta dan Kampar, Ahad lalu.
Operasi yang dikendalikan Bahagian Penguatkuasa JPJ Perak itu melibatkan seramai 28 pegawai dan anggota penguat kuasa bagi memastikan institut memandu serta tenaga pengajar mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan.
Menurut kenyataan JPJ Perak, sebanyak 24 saman dikeluarkan atas kesalahan membabitkan pemegang Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) yang melanggar peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Sekolah Memandu) 1992.
Selain itu, sebanyak 14 PG1 turut dikeluarkan susulan penemuan masalah teknikal pada kenderaan institut memandu yang diperiksa, mengikut peruntukan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Pemeriksaan itu merangkumi keadaan kenderaan yang digunakan bagi memastikan aspek teknikal dan keselamatannya memenuhi ketetapan yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, JPJ Perak mengingatkan semua pengusaha institut memandu supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan serta memastikan latihan pemanduan berkualiti diberikan kepada pelajar.
Menurut kenyataan itu, latihan pemanduan yang berkualiti penting bagi melahirkan pemandu yang mempunyai kemahiran, kecekapan dan keupayaan untuk memandu dengan selamat di jalan raya.
JPJ Perak turut menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua institut memandu mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan.
Orang ramai yang mempunyai aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh menyalurkannya melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau platform e-Aduan@JPJ.
Foto : JPJ Perak



