
KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) menetapkan penyertaan di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai pendirian gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.
Pengerusi GPS merangkap Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GPS yang berlangsung pada Rabu dan dihadiri presiden parti-parti komponennya.
Beliau berkata, pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung jadual pilihan raya akan menjadi asas kepada penentuan persiapan selanjutnya.
“GPS akan bertanding di semua 82 kerusi. Itu merupakan keputusan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, pada Rabu.

Abang Johari turut menjelaskan bahawa pembahagian kerusi antara parti komponen akan diperincikan dengan mengambil kira kedudukan semasa serta pencapaian masing-masing dalam pilihan raya terdahulu.
“Bagi perkara lain, kita menunggu pengumuman SPR berhubung tarikh pilihan raya dan selepas itu, barulah kita mengetahui langkah seterusnya yang akan diambil,” ujarnya.
Senarai calon GPS akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon, selepas SPR mengumumkan tarikh-tarikh penting PRN Ke-13.
GPS dianggotai empat parti komponen, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada PRN Sarawak Ke-12, gabungan itu memenangi 76 kerusi, dengan PBB memperoleh 47 kerusi, SUPP (13), PRS (11) dan PDP (lima).
Perubahan kedudukan politik pada 2024 menyaksikan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyertai PDP susulan pembubaran parti berkenaan.
Sementara itu, sokongan ADUN Batu Lintang, See Chee How yang berstatus Bebas, turut menjadikan jumlah ADUN yang menyokong GPS sebanyak 80 orang, manakala dua kerusi lagi dipegang Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

