
KUCHING – Organisasi media dan pihak editorial diingatkan supaya tidak mendedahkan identiti kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dalam pelaporan insiden sensitif, termasuk kes yang sedang disiasat pihak berkuasa.
Majlis Media Malaysia (MMM) berkata, perlindungan identiti dan kebajikan kanak-kanak perlu diberikan keutamaan bagi mengelakkan pendedahan maklumat yang boleh menjejaskan privasi, maruah serta kesejahteraan mereka.
Menurutnya, Klausa 9.3 Kod Tatalaku MMM menetapkan bahawa kepentingan kanak-kanak perlu sentiasa diutamakan dan hanya boleh diketepikan sekiranya terdapat manfaat awam yang benar-benar luar biasa.
“Masyarakat memang berhak mengetahui maklum balas institusi dan langkah keselamatan yang diambil.
“Namun, tanggungjawab menyampaikan maklumat perlu diseimbangkan dengan potensi kemudaratan terhadap kanak-kanak terbabit, sama ada mereka berperanan sebagai suspek, mangsa atau saksi,” menurut kenyataan MMM pada Jumaat.
MMM berkata, Klausa 4.3 turut melarang penerbitan nama, gambar atau lokasi yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak yang disyaki terlibat atau menjadi individu berkepentingan dalam siasatan.
Menurutnya, pihak editorial juga perlu berhati-hati terhadap pendedahan maklumat tidak langsung seperti umur, kelas, latar belakang keluarga, akaun media sosial dan gambar kediaman yang boleh menyebabkan identiti seseorang dikenal pasti.
Perlindungan sama perlu diberikan kepada ahli keluarga serta kanak-kanak lain yang menyaksikan kejadian bagi mengelakkan pendedahan maklumat peribadi mereka.
Dalam pada itu, MMM turut mengingatkan organisasi media supaya tidak menjadikan bahan tular di media sosial sebagai fakta tanpa proses pengesahan sewajarnya.
Menurutnya, bahan seperti nota peribadi, mesej, tangkap layar, gambar dan video perlu disemak dengan teliti sebelum digunakan dalam laporan berita.
Penerbitan semula komunikasi peribadi secara menyeluruh juga wajar dielakkan kecuali sekiranya terdapat kepentingan awam yang jelas.
Sehubungan itu, MMM menggariskan enam prinsip utama yang perlu diberikan perhatian media, merangkumi perlindungan identiti kanak-kanak, pengesahan maklumat, prinsip anggapan tidak bersalah, pelaporan tanpa sensasi, kepekaan terhadap mangsa serta pembetulan laporan yang melanggar etika.
Menurutnya, organisasi media perlu memastikan sesuatu laporan tidak mendahului proses siasatan atau menggambarkan individu yang disyaki terlibat sebagai bersalah sebelum diputuskan mahkamah.
Selain itu, penggunaan tajuk yang bersifat sensasi atau kandungan yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kanak-kanak juga perlu dielakkan.
MMM menegaskan bahawa kawalan kendiri dan pertimbangan editorial yang teliti penting bagi memastikan hak kanak-kanak terus dilindungi tanpa menjejaskan tanggungjawab media menyampaikan maklumat kepada masyarakat.
Pihak yang terkesan akibat pelaporan tidak beretika turut boleh mengemukakan aduan rasmi melalui Mekanisme Aduan MMM untuk tindakan lanjut mengikut prosedur ditetapkan.






